Thursday 28 April 2011

RAIME PERLU LAPOR KES PENYELEWENGAN



Saudara Pengarang,

Merujuk kepada artikel bertajuk ‘Projek NKRA berpenyakit di Sabah’ yang didedahkan Ahli Parlimen Malaysia (TENOM) Datuk Raimie Unggi tersiar di portal Sabahkini.net amat menarik sekali untuk perhatian umum khususnya rakyat kawasan Tenom.

Melihat kepada susur galur penyenaraian kegiatan KKLW dalam melaksanakan projek pembangunan yang dilihat tidak teratur termasuk pemberian kos yang begitu meragukan adalah wajar isu tersebut disiasat oleh pihak berwajib seperti polis dan SPRM.

Rakyat Tenom tentunya mengkagumi keberanian dan ketelusan Datuk Raimie kerana merungkai kegiatan tersebut yang dilihat membazir jutaan ringgit wang rakyat daripada ‘pembayar cukai’ ditaburkan begitu sahaja tanpa memberikan manfaat kepada rakyat jelata.

Tahukah petualang dalam KKLW bahawa rakyatlah selaku ‘Tuan Besar’ yang layak diberi agehan pembangunan yang sewajarnya mengikut keperluan yang dikehendaki rakyat dan bukan ikut sesuka hati seorang dua petualang KKLW yang sekadar ingin mengaut keuntungan berjuta-juta tanpa memikirkan pembangunan yang dibawanya memberi manfaat kepada rakyat dikawasan berkenaan.

Syabas Datuk Raimie Unggi! Teruskan perjuangan Datuk untuk mengheret para petualang itu ke muka pengadilan kerana ‘melanun’ tabung rakyat untuk kepentingan peribadi mereka (lanun).

Bagaimana pun Datuk tidak boleh sekadar berkata-kata di mulut sahaja atau membuat kenyataan di media, sebaliknya Datuk perlu membuat tindakan sesuatu yang lebih ‘efektif’ iaitu Datuk kena membuat laporan Polis dan SPRM supaya kegiatan mereka dapat dijalankan siasatan menyeluruh dengan segera.

Bukan sahaja sekadar itu, tetapi pihak pembangkang juga perlu membuat laporan Polis meminta isu yang ditimbulkan Datuk Raimie Unggi disiasat dan seterusnya tindakan menangkap para pelaku harus dijalankan.

Pembangkang seperti SAPP, PKR dan DAP perlu mengambil perhatian serius terhadap dakwaan Datuk Raimie itu kerana ia melibatkan suatu penyelewengan jutaan ringgit nilainya kepada dana awam yang dikutip daripada wang ‘Pembayar Cukai’. Dana Awam merupakan tanggung jawab semua rakyat di negara ini untuk mengawasi pembelanjaannya.

Sekian,

DARRY VUN, TENOM

No comments:

Post a Comment