Sunday 24 April 2011

NELSON MANJIN NAFI BELIAU AHLI SAPP



Oleh: NASUTION NAEJEL

AKHIRNYA usahawan, Nelson Manjin, 38, tampil menenangkan kekeruhan apabila beliau menafikan sekeras-kerasnya pembabitannya dalam Parti Maju Sabah (SAPP) seperti yang dilaporkan dalam sebuah akhbar tabloid tempatan baru-baru ini, ketika menyertai Parti Gerakan bersama kira-kira 300 yang lain dalam satu majlis baru- baru ini.

Malahan, beliau kesal dengan laporan tersebut yang disifatkannya bukan sahaja tidak tepat malah mengelirukan kerana beliau tidak pernah menyatakan demikian kepada akhbar berkenaan yang beliau dan rakan-rakannya yang menyertai Parti Gerakan adalah bekas ahli-ahli SAPP.

“Saya sendiri mengakui tidak pernah menyertai mana-mana parti termasuk SAPP sebelum ini dan bila laporan itu terpampang di akhbar membuatkan saya terkejut kerana tidak tepat,” kata beliau dalam satu kenyataan di sini ketika dihubungi Sabahkini.net kelmarin.

Nelson seterusnya bimbang kerana selepas sahaja laporan akhbar itu tersebar luas beliau turut dihujani berbagai pertanyaan daripada rakan-rakannya berhubung perkara tersebut dan tidak kurang pula menasihatkan beliau supaya mengadakan kenyataan akhbar menjelaskan kedudukan sebenar isu tersebut.

Beliau yang menetap di Taman Motow, Tenom ketika diminta menjelaskan jumlah sebenar ahli-ahli seramai 300 yang menyertai Parti Gerakan baru-baru ini, sedangkan dalam gambar hanya kelihatan sebilangan kecil tidak sampai 300 orang dalam gambar yang dirakam dalam akhbar itu beliau berkata;

“Ahli-ahli lain yang menyertai parti ini datangnya dari luar daerah dan ada juga dari Kota Kinabalu (jadi) kebanyakan yang lain tidak dapat hadir pada masa itu tetapi borang kemasukan ada dihantar kepada saya yang menjadikan semua jumlahnya 300 orang. Bagaimana pun semua jumlah itu dikenal pasti tidak berparti,” jelas Nelson.

Nelson seterusnya menyatakan rasa kesalnya laporan tersebut dan memohon maaf kepada SAPP kerana secara tidak sengaja parti itu dibabitkan dalam urusan tersebut.

Beberapa hari lalu, sebuah akhbar tabloid tempatan melaporkan bahawa Nelson Manjin bekas pemimpin Pergerakan Pemuda SAPP Pedalaman bersama-sama dengan 300 ahli SAPP menyertai Parti Gerakan dalam satu majlis di sini.

Borang borang kemasukan mereka telah diserahkan kepada Naib Presiden Parti Gerakan yang juga mantan Naib Presiden LDP, Tan Sri Liew Yun Fah ketika majlis tersebut baru-baru ini.

No comments:

Post a Comment