Thursday 28 April 2011

LIGS PERAS UNTUNG TAPI ABAI KOMITMEN



LONGKANG….Kelihatan Jamawi (kanan sekali) manakala Lampag ketiga dari kiri ketika meninjau jalanraya yang kelihatan seperti longkang di musim hujan kerana tidak pernah diselenggara sejak lebih 10 tahun lalu.

Oleh: NASUTION NAEJEL

PERGERAKAN Pemuda Umno Tenom menggesa pengurusan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) Lagud Sebrang agar prihatin dengan masalah pelbagai kedaifan infratruktur, terutamanya jalanraya sejauh 5 kilometer yang tidak pernah diselenggara lebih 20 tahun lalu walaupun beberapa aduan telah diajukan kepada pihak terbabit.

Sebaliknya LIGS yang telah mengaut keuntungan hasil usaha dan sumbangan tenaga kerja daripada para peneroka kira-kira 20 tahun lalu seharusnya mereka dibalas dengan memberi layanan baik dengan pemberian keistimewaan infrastruktur yang lebih selesa kepada para peneroka.

Exco Pergerakan Pemuda Umno pusat yang juga Pegawai Khas kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Kemajuan Wilayah Persekutuan, Jamawi Jaafar berkata demikian ketika turun padang melawat keadaan di situ baru-baru ini selepas beberapa laporan diterimanya berhubung rungutan para peneroka berhubung masalah tersebut.

Beliau seterusnya meminta pengurusan LIGS supaya bertindak lebih proaktif untuk menyelesaikan rungutan para peneroka yang tidak sepatutnya dilayan sebegitu rupa kerana jika dilihat keadaan perumahan mereka seakan-akan sama dengan kediaman PATI yang tidak dilengkapi dengan beberapa kemudahan asas termasuk lanskap perumahan yang tidak teratur.

“Kita difahamkan bahawa para peneroka di sini sudah juga mengajukan masalah yang mereka hadapi kepada Wakil Rakyat Melalap tetapi apa-apa kemudahan yang terletak di kawasan peneroka LIGS di sini adalah terletak di dalam bidangkuasa pengurusan LIGS,” tegas Jamawi yang mengharapkan agar pihak pengurusan LIGS mengambil tindakan segera.

Sebelum itu, jurucakap peneroka LIGS Lagud Sebrang, Lampag Kurias, 60, menyatakan rasa kekesalan beliau kerana selama ini sudah beberapa kali masalah seumpama itu dikemukakan kepada kerajaan termasuk Wakil Rakyat namun ia terus terbiar tiada tindakbalas daripada kerajaan.

“Kami pernah melakukan gotong royong sebelum ini untuk membaiki permukaan jalan yang berlubang-lubang. Kami terpaksa lakukan begitu kerana mahu tunggu siapa lagi yang boleh bantu kami,” tegas Lampag.

Ketika ditanya mengapa tidak memanjangkan masalah ini kepada ADUN Melalap Datuk Radin Malleh supaya tindakan serius dapat dilakukan Lampag menjelaskan bahawa mereka sudah memajukan perkara ini kepada Datuk Radin, tetapi malangnya jalanraya di sini adalah tanggung jawab LIGS.

Kami sudah dimaklumkan bahawa Datuk Radin juga sudah mengambil tindakan dan mengajukan masalah ini kepada Pejabat Daerah dan juga selepas itu beliau (Datuk Radin) sudah menulis surat kepada pengurusan LIGS tetapi sehingga sekarang tiada tindakan,” jelas Lampag.

No comments:

Post a Comment