Friday 22 April 2011

KERAJAAN PERLU SUMBANGAN NGO



SUMBANGAN……..Abdul Rahman, Herbert bersama ahli Yayasan Kemajuan Bumiputera dan ahli Kelab Rotray Sabah mengagehkan sumbangan berupa mi hoon kepada penduduk yang hadir pada majlis itu.

Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI

SUMBANGAN badan NGO yang sedia wujud di negara ini melalui pelbagai aktiviti yang dijalankan oleh mereka bukan sahaja amat dihargai oleh masyarakat malah pihak kerajaan turut mengiktiraf sumbangan yang telah mereka berikan selama ini.

Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata badan NGO merupakan sebuah kumpulan yang amat penting dalam membantu sesebuah kerajaan di mana-mana negara dalam dunia ini membentuk masyarakat yang maju dan bertamadun.

Menurut Abdul Rahman, salah satu resepi untuk memastikan sesebuah negara itu mempunyai masyarakat yang maju, berfikiran jauh, mempunyai peradaban yang tinggi ialah apabila sesebuah negara itu mempunyai satu gerakan pertubuhan bukan kerajaan ataupun NGO yang kuat dan mantap di peringkat akar umbi.

“Sebuah kerajaan atau negara yang mempunyai kumpulan-kumpulan NGO yang bergerak aktif di peringkat akar umbi adalah bukti bahawa sebuah kerajaan atau negara itu, atau masyarakat itu sudah sampai ke satu tahap di mana mereka ini maju dan bertamadun tinggi.”

Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis kem khidmat masyarakat anjuran bersama Yayasan Kemajuan Bumiputera (YKB) dan Kelab Rotary Sabah yang telah diadakan di Melangkap Homestay Kg. Melangkap, baru-baru ini.

Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah turut berkata individu yang menjadi pengiat dalam NGO ini adalah mereka yang telah berjaya dalam kehidupan dan mereka mahu memberi sesuatu kembali kepada masyarakat.

Menurutnya, mereka ini datang ke kampung-kampung bukan hanya untuk bersuka-suka tetapi jauh di dalam hati kumpulan NGO itu mereka ingin menyumbang sesuatu yang berfaedah kepada masyarakat.

“Untuk memberi perkhidmatan kepada masyarakat tidak semestinya hanya melalui saluran politik semata-mata. kumpulan-kumpulan NGO masih boleh bergerak seirama, selangkah dengan orang-orang politik menerusi kumpulan NGO yang mereka sertai,” tambahnya lagi.

Hadir sama pada majlis itu antaranya Wakil Rakyat Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan, Timbalan Presiden Yayasan Kemajuan Bumiputera, Datuk Abdullah Sibil; Timbalan Ketua Bahagian Umno Kota Belud, Awadnir Matanggal serta para pemimpin setempat yang lain.

No comments:

Post a Comment