Saturday 23 April 2011

JANGAN SEMBELIH LDP KERANA CHIN


SEMBELIH....Chong menunjukkan isyarat sembelih sambil berkata jangan.

Oleh: SURIATI MAHMUD

PEMIMPIN parti komponen BN Sabah tidak wajar menyembelih LDP semata-mata kerana Timbalan Presiden parti itu, Datuk Chin Su Phin melakukan kesilapan ‘menembak secara rambang’ Ketua Menteri Sabah dan Perdana Menteri melalui kenyataan akhbar yang turut dimanipulasikan pihak tertentu.

“Pandangan Chin adalah pandangan peribadi beliau sendiri dan tidak ada kena mengena dengan LDP sekalipun kedudukan beliau sebagai Timbalan Presiden LDP,” ujar Timbalan Ketua Bahagian LDP Silam, Chong Su Vun sebagai mengulas perkembangan politik semasa yang mengeruhkan hubungan LDP dengan parti komponen BN.

Menurut Chong, majoriti pemimpin LDP kesal dengan kenyataan rambang Chin namun menyerahkan kepada kebijaksanaan Presiden Parti, Datuk VK Liew untuk membuat kenyataan rasmi berhubung pendirian LDP dan mencari formula terbaik untuk menyelesaikan isu ini secara saksama berdasarkan semangat BN.

“Dalam hal ini, majoriti ahli LDP menyokong kepimpinan Ketua Menteri Sabah kerana diberi peluang yang cukup luas oleh kerajaan BN Sabah untuk memperjuangkan kepentingan masyarakat Cina sekalipun kuota Timbalan Ketua Menteri Sabah diserahkan kepada PBS; namun disebabkan beberapa isu tertentu dan ada pihak yang mengadu domba, maka terjadilah bibit perpecahan yang masih boleh diperbaiki Presiden parti,” tegas Chong yang meminta semua ahli LDP Silam bertenang.

Walaupun ada pihak yang cuba meracuni pemikiran ahli akar umbi LDP agar memberontak terhadap kepimpinan Musa Aman, namun kewibawaan Datuk VK Liew, kata Chong, telah berjaya memadamkan api sengketa yang dipasang oleh pihak tertentu sehingga hubungan LDP dengan parti komponen BN terutama UMNO terus terjalin erat.

Chong yang juga Exco Pemuda LDP Pusat menegaskan bahawa di bawah pemerintahan Datuk Musa Aman telah membuktikan bahawa beliau bukan sahaja menjadi Ketua Menteri untuk kaum bumiputera, malah untuk kaum Cina, India dan semua rakyat Malaysia yang berada di Sabah.

Isu Mazu, Timbalan Ketua Menteri dan teguran Chin, kata Chong adalah isu terpencil tidak boleh dijadikan ukuran gelincirnya sokongan Cina terhadap kerajaan BN Sabah kerana buktinya parti komponen BN telah membantu calon LDP pada pilihanraya umum lalu sehingga berikan kemenangan mutlak BN pada pilihanraya umum Sabah 2008 dan akan berterusan di masa akan datang.

“Saya percaya Datuk Musa tidak terkilan dengan pandangan peribadi Chin dan sentiasa menghormati LDP sebagai rakan setia komponen BN demi kemajuan dan pembangunan Sabah,” ujar Chong yang yakin Musa akan memberikan lebih banyak peluang gantian kepada LDP setelah kehilangan kerusi Timbalan Ketua Menteri akibat penghijrahan Pang ke Gerakan.

Memandangkan semua pemimpin LDP akan menghadiri bengkel penting mulai Sabtu, maka Chong berharap Presiden dan Majlis Tertinggi LDP akan menyelesaikan kemelut yang melanda LDP ekoran kenyataan liar yang tidak berasaskan kepada prinsip parti dan semangat setiakawan BN.

No comments:

Post a Comment