Wednesday 27 April 2011

GERAKKAN SEGERA JENTERA PARTI



SIAP SEDIA……Abdul Rahman, Musbah mengabdikan album kenangan dengan Jentera Pilihanraya Daerah Mengundi Gunding.

Oleh: ISMAIL MOHD ROSLI

KOMPONEN parti Barisan Nasional negeri Sabah diminta dengan kadar segera membuat satu perancangan yang mantap untuk mengerakkan jentera parti masing-masing sebagai persediaan menghadapi pilihanraya.

Setiausaha Barisan Nasional Sabah, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata, parti komponen Barisan Nasional perlu bersedia lebih awal mempersiapkan jentera parti masing-masing di pelbagai peringkat.

“Komponen Barisan Nasional tidak mempunyai masa yang panjang dan perlu turun ke bawah bukan sahaja bertemu dengan rakyat tetapi menyusun jentera parti bagi menghadapi sebarang kemungkinan pilihanraya.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui oleh media sejurus beliau selesai berucap di Majlis Bersama Jentera Pilihanraya Daerah Mengundi Gunding, Kota Belud, yang telah diadakan di perkarangan Tabika Kemas kampung itu, baru-baru ini.

Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Wakil Rakyat Tempasuk, Datuk Musbah Jamli yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sabah.

Abdul Rahman yang juga Ahli Parlimen Kota Belud berkata peringatan untuk mengerakkan jentera parti bukan sahaja untuk parti UMNO semata-mata, sebaliknya ia juga untuk peringatan kepada semua parti komponen yang lain.

Katanya, semua komponen parti perlu memastikan jentera partinya sudah digerakkan serta merancang sesuatu yang mantap sebagai persediaan.

“Semua jentera parti perlu memantau samada jentera parti sudah digerakkan atau tidak, kita perlu memeriksa samada perancangan sudah tersedia atau sebaliknya, sudahkah kita kenalpasti sikap pengundi dan sebagainya, semua ini perlu diambil perhatian serius. Kalau tidak, jangan kita terhantuk, baru terngadah.” tambahnya lagi.

Hadir sama pada majlis itu antaranya Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kota Belud, Awadnir Matanggal, Pengerusi Daerah Mengundi Gunding, Naumul Mulud serta para pemimpin setempat yang lain.

No comments:

Post a Comment