Thursday 24 March 2011

KOLEJ TIRAM, 30 TAHUN OPERASI TANPA LESEN?



Oleh: SURIATI MAHMUD

BERBEKALKAN pengaruhnya dalam Malaysian Indian Congress (MIC), Nagaraju Appalasamy telah membuka Kolej Tiram sekitar 1980-an di Pekan Sampah Lahad Datu untuk menyediakan tempat belajar bagi murid-murid yang tercicir dalam pelajaran.

Kemudian dikembangkan lagi melalui penganjuran ‘Twinning Programme’ dengan Universiti Terbuka Malaysia (UOM) untuk memudahkan mereka yang telah bekerja dalam sektor perladangan meningkatkan taraf pendidikan mereka dengan mengikuti Program Diploma Perladangan di Kolej Tiram yang kini terletak di Bandar Wilayah Jasa, Lahad Datu.

Namun tidak siapa menduga bahawa Kolej Tiram adalah Kolej Swasta yang didirikan secara haram tanpa lesen daripada Kementerian Pelajaran Malaysia sekalipun telah melahirkan ramai pelajar cemerlang selepas mereka tercicir daripada sekolah aliran perdana.

Dalam jawapan bertulisnya kepada Sabahkini.net, Eksekutif Khidmat Pelanggan, Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Rosafiza Binti Darus menjelaskan bahawa berdasarkan siasatan yang telah dijalankan, Unit Pendidikan Swasta, Jabatan Pelajaran Negeri Sabah mendapati Kolej Tiram adalah sebuah institusi pendidikan swasta yang tidak berdaftar di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Jabatan Pelajaran Negeri Sabah telah mengeluarkan arahan kepada Kolej Tiram supaya mengemukakan permohonan pendaftaran kepada KPM namun sehingga kini tiada permohonan diterima oleh Bahagian Pendidikan Swasta.

Sehubungan dengan itu, siasatan lanjut akan dijalankan dan tindakan perundangan akan diambil ke atas Kolej Tiram mengikut peruntukan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

Persoalannya, kenapa sudah hampir 30 tahun berlalu, Jabatan Pelajaran Sabah masih tidur lena sedangkan mereka tahu bahawa Kolej Tiram tidak berdaftar dan atas dasar apa Jabatan Pelajaran membenarkan Kolej Tiram beroperasi secara haram?

Seorang bapa, Kassim, 53, tidak menyangka Kolej Tiram tidak berdaftar dengan Jabatan Pelajaran Sabah dan telah memberhentikan anaknya daripada belajar di kolej tersebut kerana merasa tertipu.

Bagaimanapun beliau tidak bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang kerana anaknya baru sahaja dimasukkan ke kolej haram berkenaan.

No comments:

Post a Comment