Friday 25 February 2011

PUNB PELAWA PERNIAGAAN HOTEL BAJET



PERBADANAN Usahawan Nasional Berhad (PUNB) mempelawa usahawan Bumiputera di Sabah memohon pembiayaan daripada perbadanan itu bagi membolehkan mereka menceburi atau mengembangkan perniagaan dalam industri pelancongan.

Pengurus Besar Bahagian Pembangunan Usahawan PUNB, Abdul Jammi Abdul Karim berkata pembiayaan dalam bentuk pinjaman itu termasuk pembiayaan untuk memulakan perniagaan hotel bajet, operator dan agensi pelancongan serta menaik taraf restoran makanan tempatan.

Katanya jumlah pembiayaan berbeza mengikut jenis perniagaan.

Bagi memulakan perniagaan jenis hotel bajet, PUNB menyediakan pembiayaan antara RM250,000 dan RM5 juta kepada pemohon yang layak, katanya,

"Kita tidak membiayai pembinaan bangunan (untuk tujuan hotel bajet) tetapi memberi tumpuan untuk kerja-kerja menaik taraf atau pengubahsuaian bangunan sedia ada. Setakat ini belum ada usahawan dari Sabah yang memohon pembiayaan hotel bajet," katanya selepas perasmian Seminar Skim Pembiayaan PUNB di Pusat Perdagangan Sabah, Likas, dekat sini Khamis.

Majlis itu dirasmikan oleh Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah Hashim Paijan.

Seminar itu yang dianjurkan Kementerian Pembangunan Perindustrian Sabah dengan kerjasama PUNB, bertujuan memberi pendedahan kepada usahawan Bumiputera di negeri ini mengenai peluang-peluang pembiayaan perniagaan yang ditawarkan oleh PUNB.

Abdul Jammi berkata Sabah berpotensi besar dalam industri pelancongan, terutama perniagaan hotel bajet, yang menyediakan sekitar 50 bilik.

Beliau berharap usahawan Bumiputera di negeri ini merebut peluang yang disediakan oleh PUNB selaras dengan konsep 1Malaysia yang memberi peluang kepada semua usahawan di negara ini untuk maju dalam perniagaan, termasuk sektor pelancongan.

Katanya PUNB turut menyediakan pembiayaan lain seperti peruncitan iaitu Skim Prosper Runcit, Skim Prosper Siswazah, Skim Pemborong Prosper dan Program Siswazah Perantis PUNB.

Selain pembiayaan perniagaan, Abdul Jammi berkata PUNB juga membantu usahawan memperoleh dan memiliki premis perniagaan.

"Kita membeli premis perniagaan untuk disewakan kepada para peniaga. Apabila perniagaan mereka sudah berjaya, kita boleh pertimbangkan supaya premis itu dijual kepada usahawan berkenaan," katanya. (BERNAMA)

No comments:

Post a Comment