Monday 17 January 2011

PEMBANGKANG TERBUKTI BERBOHONG



Oleh: SHAIMON S JUMADI

DAKWAAN parti pembangkang yang sering menyelar dan menafikan segala usaha pihak kerajaan Barisan Nasional (BN) yang kononnya tidak menyalurkan projek di sebahagian kawasan terpencil, khususnya di kawasan luar bandar ini tidak benar sama sekali dan merupakan satu propaganda dan pembohongan besar kepada rakyat jelata.

“Di kawasan Kuamut, contohnya banyak projek kecil dan sederhana telahpun disalurkan ke beberapa buah mukim dan kampung seperti pembinaan balairaya, gereja, surau, pembaikan jalan dan sebagainya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri Kuamut, Masiung Banah.

Beliau berkata demikian kepada Wartawan Kanan Sabahkini.Net, sejurus selepas lawatannya meninjau projek pembinaan Balai Raya di Kampung Sogo-Sogo dalam daerah Tongod baru-baru ini.

Masiung melahirkan rasa kesal terhadap pemimpin pembangkang yang suka menafikan apa saja usaha murni kerajaan yang disumbangkan kepada rakyat tanpa mengira apa kedudukan fahaman parti yang mereka sokong dan sering diputar belitkan.

Katanya, pembinaan balai raya di kampung tersebut akan digunakan sebagai Pejabat Khidmat Masyarakat yang mengumpulkan dan menempatkan para pemimpin masyarakat di Mukim Sogo-Sogo yang membabitkan Pemaju Mukim, Pemaju Masyarakat, Pengerusi JKKK dan juga Ketua Kampung untuk memudahkan orang ramai khususnya penduduk persekitaran Mukim berkenaan berurusan dengan mereka.

“Inilah satu kaedah yang paling baik, supaya para pemimpin masyarakat yang dilantik untuk memegang satu-satu jawatan dapat menjalankan tugas dengan lebih berkesan dan bertanggungjawab dalam melaksanakan peranan masing-masing membantu masyarakat yang memerlukan,” kata Masiung.

Tambah Masiung lagi, beliau hairan kenapa sikap dan daya memikiran pemimpin pembangkang terlalu sempit dan sering menafikan usaha kerajaan seolah-olah mereka tidak nampak sekarang sudah wujud jalanraya baik penghubung dari simpang pekan Telupid menuju ke Tongod, berbanding 10 tahun yang lalu.

“Jadi saya harap rakyat di kawasan Kuamut agar tidak mudah terpedaya oleh dakyah songsang pihak pembangkang yang suka memutarbelitkan dan menafikan peranan kerajaan dalam segala hal,” tegasnya.

Turut serta dalam lawatan tersebut ialah Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Kuamut, Sungsing Pitaloi dan Pemaju Mukim Sogo-Sogo, Liasing Podok.

No comments:

Post a Comment