Wednesday 22 December 2010

SSB KHAZANAH WARISAN KADAZANDUSUN



Oleh: MAIL MATHEW

SERAMAI 200 orang ahli Persatuan Seni Silat Bingkasan (SSB) Sabah telah menghadiri hari keluarga persatuan tersebut yang diadakan di Kg. Lapai, Tenghilan, Tuaran yang bertujuan untuk memperbaharui tekad dan keazaman mereka dalam persatuan, selain untuk mengeratkan silatulrahim antara mereka yang telah wujud sekian lama lebih-lebih lagi Seni Silat Bingkasan merupakan khazanah warisan Kadazandusun.

Seni Silat Warisan Bingkasan yang diturunkan oleh Allahyarham Mahaguru Ahmad Onup dipercayai mempunyai banyak pengikutnya di seluruh pelusuk daerah di Sabah kerana Seni Silat Bingkasan bukan sahaja tertumpu kepada ajaran mempertahankan diri tetapi lebih mengkhusus kepada gerak seni kesihatan, jatidiri dan ketahanan mental.

Ketua Pergerakan Pemuda Parti Maju Sabah (SAPP) Pusat, Edward J Dagul selaku tetamu kehormat telah merasmikan majlis hari keluarga Seni Silat Bingkasan dengan penuh gilang-gemilang dan bersejarah itu.

Dalam pada itu, Edward menegaskan bahawa peranan yang telah dimainkan oleh pihak penganjur silat Bingkasan telah menunjukkan satu contoh yang baik kerana berjaya mengatur satu strategi yang memberangsangkan dengan menganjur satu pengisian aktiviti yang lebih sempurna kerana ia akan dapat menghindar golongan generasi muda terjerumus ke lembah negatif.

Tegasnya lagi, beliau terkejut apabila mendapat tahu wujudnya aktiviti seperti ini khususnya seni silat Bingkasan yang turut disertai ramai belia, sebaliknya khabar angin yang beliau perolehi sebelum ini sudah menjadi realiti.

“Kalau selama ini saya hanya mendengar cakap-cakap kosong kewujudan seni silat Kadazandusun dan tidak lebih dari khabar angin tetapi hari ini ia sudah terbukti wujud dan inilah dikatakan diam-diam ubi berisi,” tegas beliau sambil disambut tepukan gemuruh oleh para peserta.

Edward seterusnya menegaskan bahawa seni silat merupakan satu aktiviti senaman yang bertindak menggerakkan seluruh anggota tubuh badan yang akan menyihatkan fizikal dan mental seseorang individu.

Beliau menambah, lebih-lebih lagi Seni Silat Bingkasan turut melakukan ajaran berguna dengan penerapan nilai-nilai murni seperti disiplin dan jatidiri sebagai pelengkap kepada kematangan bagi seseorang itu.

Terlebih dahulu Yang Dipertua Persatuan Seni silat Bingkasan, Gaimin Guraat dalam ucapannya menyatakan bahawa tujuan utama hari keluarga tersebut adalah untuk mengukuhkan hubungan rapat di kalangan ahli persatuan itu selain dapat saling mengenali dan bertukar-tukar pendapat.

Dari segi sejarah, secara rasminya persatuan ini telah berdaftar dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) sejak tahun 1988. Apa yang membanggakan persatuan ini dapat melahirkan pesilat Kadazandusun yang pertama bertanding pada peringkat kebangsaan. Selain daripada itu, persatuan Seni Silat Bingkasan turut menganjurkan kempen derma darah pada setiap tahun.

Cawangan-cawangan yang terlibat dalam penganjuran hari keluarga ini adalah terdiri daripada cawangan Gelanggang Kota kinabalu, Gelanggang Keningau, Gelanggang Kg. Kalipasuan Tamparuli, Gelanggang Kg. Tiong Ratau dan Gelanggang cawangan Kota Marudu. Turut hadir ialah Ketua Jurulatih, Gunsiang Gondihan

No comments:

Post a Comment