Wednesday 22 December 2010

SIAPA SEBENARNYA BEBASKAN 2 TEBUSAN?



Oleh: MUTALIB M.D

GABENOR Tawi-Tawi, Hadji Sadikul Adalla Sahali sebentar tadi menghubungi Sabahkini.net memberitahu bahawa beliau akan ke Kuala Lumpur untuk menemui Menteri Luar, Datuk Anifah Aman dalam masa terdekat bagi memaklumkan kes pembebasan dua tebusan rakyat Malaysia yang diculik sejak 8 Februari lalu.

“Kita ada mendengar pelbagai teori berhubung pembebasan mereka. Tetapi siapa sebenarnya yang bertungkus lumus membebaskan mereka? Buat sementara waktu kita terpaksa diamkan dahulu kerana ada pihak yang cuba mengambil kesempatan di atas pembebasan dua tebusan berkenaan,” ujar Sadikul yang masih berteka-teki.

Sadikul hanya tergelak dengan laporan TV Malaysia, namun enggan mengulas lanjut kerana beliau akan menjelaskan ketika bertemu Anifah dan akan memaklumkan Sabahkini.net selepas melakukan kunjungan kehormat kepada Anifah.

Sebelum ini, Sabahkini.net menerima pelbagai panggilan telefon, SMS dan email setiap hari daripada pihak tertentu yang mengugut agar tidak mendedahkan kes penculikan berkenaan dan pembebasan dua rakyat Malaysia pada hari ini.

Menurut laporan koresponden Sabahkini.Net di Tawi-Tawi, mereka bergegas ke lokasi yang dijangka tebusan akan dibebaskan sejak jam 3 pagi namun hanya pada jam 6 pagi dua tebusan berkenaan ditinggalkan di kawasan yang dijanjikan tanpa wujud sebarang kelibat tentera dan polis Filipina.

“Tidak ada sebarang pertempuran, menunjukkan wang ‘Food and Lodging’ yang dituntut telah dijelaskan,” kata Koresponden Sabahkini.net yang menafikan laporan kononnya Polis Filipina dan Tentera terlibat dalam usaha membebaskan tebusan berkenaan.

Bagaimanapun mereka gagal merakamkan gambar tebusan kerana cuaca berkabus ketika Sadikul tiba untuk membawa Tebusan berkenaan pada jam 6.15 pagi.

Dalam pada itu, sebuah akhbar aliran perdana melaporkan, bahawa dua orang rakyat Malaysia yang diculik oleh kumpulan tidak dikenali di Selatan Filipina pada Februari lalu dibebaskan hari ini, menurut Kementerian Luar.

Lai Wing Chou, 33; dan Tsen Vui Chung, 41, diculik semasa bekerja di ladang rumpai laut di Semporna, Sabah pada 7 Februari lalu (sebenarnya 8 Februari).

Kedua-dua rakyat Malaysia itu disambut Duta Besar Malaysia ke Filipina, Datuk Seri Dr Ibrahim Saad di Manila selepas tiba dari Selatan Filipina dengan diiringi oleh pegawai-pegawai dari Kedutaan Besar Malaysia di Manila, Polis Kebangsaan Filipina dan Polis Diraja Malaysia.

"Kementerian Luar menyampaikan ucapan penghargaan di atas kerjasama dari Kerajaan Republik Filipina dan semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakan pembebasan Lai Wing Chou dan Tsen Vui Chung," menurut kenyataan itu lagi.

Lai dan Tsen dijangka pulang ke Sabah, Jumaat ini.

Wisma Putra berkata ia berharap kedua-dua mereka dan keluarga masing-masing dapat meneruskan kehidupan seperti biasa selepas menempuh pengalaman pahit itu.

No comments:

Post a Comment