Tuesday 23 November 2010

PENYELARASAN BANTUAN PERLU WUJUD



BANTUAN BERTINDIH...Menteri DiJabatan Ketua Menteri Dato Sri Nasir Tun Sakaran (kanan) berbincang sesuatu dengan ADUN Tanjung Batu, Datuk Hajah Hamisah Samat (dua kiri) sambil diperhatikan Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan Dan Perumahan, Datuk Haji Gulam Haidar (dua kanan); Adun Kemabong, Datuk Rubin Balang (kiri); Adun Sugut, Datuk Surady Kayong (tiga kiri); Adun Kiulu, Datuk Louis Rampas (tiga kanan) dan Adun Kuamut, YB Masiung Banah (tengah) sebelum persidangan DUN Sabah sessi soaljawab hari kedua bermula.

Oleh: ARSHAD HUSSIN

KERJASAMA bagi penyelarasan bantuan untuk golongan miskin perlu diwujudkan bagi mengelak pertindihan nama penerima bantuan yang menerima pelbagai bantuan kebajikan di negeri ini, kata Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah, Dato Sri Haji Nasir Tun Sakaran.

Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Senallang memberitahu Sidang Dewan bagi menjawab soalan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri N.59 Tanjung Batu, Datuk Hajjah Hamisah Samat mengenai cara terbaik untuk menyelaras bantuan kebajikan melalui Baitulmal dan Jabatan Kebajikan Masyarakat supaya nama penerima tidak bertindih dan penerima bantuan yang belum mendapat bantuan turut menikmati bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat; Baitulmal dan Pusat Zakat Sabah(PZS).

Nasir berkata, meskipun berlakunya pertindihan nama namun kadar bantuan zakat dan kadar bantuan yang disumbangkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat tidak dapat mengeluarkan golongan tersebut dari garis kemiskinan yang ditetapkan iaitu RM540.

Nasir menambah, dalam hubungan itu Pejabat Pembangunan Persekutuan Negeri Sabah, Jabatan Perdana Menteri di bawah pemantauan dan pengawasan Jawatankuasa ‘Focus Group’ Pembasmian Kemiskinan Negeri Sabah (PKNS) sedang giat menyelaras bentuk dan kadar bantuan yang disumbangkan oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan terlibat dalam program Pembasmian Kemiskinan di negeri ini untuk Ketua Isi Rumah Miskin Tegar (KIRMT); miskin dan mudah miskin yang tersenarai dalam Sistem E-Kasih

Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Sekong, Datuk Samsudin Yahya, mencadangkan supaya peranan Ketua-Ketua Kampung dan Pengerusi-pengerusi JKKK setiap kampung dan kawasan dilibatkan dalam Jawatankuasa Penyelaras sekiranya kerajaan ingin menubuhkan Jawatankuasa Penyelaras bagi mengenalpasti golongan yang layak diberikan bantuan kerana mereka (KK/PJKK) lebih mengetahui dan mengenali penduduk-penduduk kampung yang berstatus demikian.

Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah, memberitahu Dewan, bahawa sepanjang tahun 2010 sahaja Pusat Zakat Sabah (PZS) memberi bantuan bulanan sebanyak RM100 hingga RM200 berdasarkan bilangan isi rumah kepada 5,150 orang Ketua Isi Rumah (KIR) yang terdiri daripada golongan miskin tegar (faqir) kerana golongan tersebut merupakan golongan asnaf yang layak menerima bantuan; dan bantuan itu dalam bentuk wang tunai serta dimasukkan terus ke dalam buku akaun bank penerima setiap tiga bulan sekali.

Nasir menjelaskan, di samping itu seramai 26,982 orang lagi golongan miskin tegar (faqir) ;golongan miskin dan saudara baru (mualaf) menerima bantuan tahunan (sekali dalam setahun) sempena Hari Raya Aidilfitri kerana bantuan tersebut diagehkan sepanjang bulan Ramadhan dengan kadar RM200 seorang.

No comments:

Post a Comment