Wednesday 24 November 2010

SABAH DAPAT 19 DOKTOR DARI MESIR 2012



TELITI...Dato’ Sri Nasir Tun Sakaran (kanan) meneliti dan berbincang mengenai soalan dewan bersama Adun Membakut, Datuk Haji Mohd Ariffin Arif (kiri) sebelum persidangan DUN Sessi soaljawab bermula pagi tadi.

Oleh:ARSHAD HUSSIN

SERAMAI 19 orang pelajar yang dihantar sebagai perintis dalam tahun 2006 dalam pelbagai pengajian bidang perubatan dan farmasi di beberapa Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di Republik Aram Mesir dijangka akan menamatkan pengajian pada tahun 2012.

Menjawab Soalan Dewan daripada Adun Sulabayan, Datuk Haji Harman Hj Mohammad mengenai penghantaran pelajar tajaan Pusat Zakat sabah(PZS) ke Mesir, Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Dato’ Sri Haji Nasir Tun Sakaran memberitahu Sidang Dewan bahawa PZS telah berjaya menyelaras penghantaran seramai 160 orang pelajar dari Sabah ke Mesir.

Dato Sri Nasir, menjelaskan pelajar-pelajar itu melanjutkan pengajian dalam bidang Perubatan dan Farmasi, Pengajian Islam dan Bahasa Arab di beberapa buah Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Mesir termasuk di Universiti Al-Azhar Al-Sharif; Universiti Alenandaria; Universiti Cairo; Universiti Ain Al-Syam; Universiti Zaqazik; Universiti Mansora dan Universiti Tanta.

Selain tajaan daripada PZS para pelajar itu juga ada yang mendapat tajaan daripada Yayasan Sabah; Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah.

Dato Sri Nasir, menambah syarat kelayakan penghantaran bagi mengikuti pengajian dalam bidang tersebut sama seperti syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.

Dato Sri Nasir yang juga Menteri Bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam di Sabah memberitahu Sidang Dewan, jumlah pungutan zakat sehingga bulan Oktober 2010 sebanyak RM28.7 Juta meningkat sebanyak 13 peratus atau RM3.3Juta berbanding jumlah pungutan sepanjang tahun 2009 sebanyak RM25.4Juta.

Nasir berkata, PZS juga akan terus menyelaras penghantaran anak-anak tempatan negeri Sabah melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan ke negeri-negeri Timur Tengah khususnya di Mesir bagi memenuhi keperluan negara.

No comments:

Post a Comment