Thursday 25 November 2010

KUALITI AIR DI TENOM TIDAK SESUAI UNTUK MANUSIA?



Oleh: HJ.WAHAB TIMPAI

MASYARAKAT seluruh daerah Tenom mendesak Kementerian Infrastruktur Sabah supaya turut memantau pentadbiran Jabatan Air di Tenom yang membekalkan kualiti air di bawah standard Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang bukan sahaja tidak sesuai untuk haiwan, malah untuk kegunaan manusia.

Seorang juru cakap penduduk bandar Tenom yang hanya mahu dikenali sebagai Chung ketika mengulas kenyataan Stanis Buandi di Sabahkini.net memperakui kejadian bekalan air kotor berkenaan.

“Memang benar laporan itu, setiap minggu keadaan air paip di Tenom, kadang-kadang klorin mungkin berlebihan air yang keluar dari paip bertukar warna seperti susu, mandi pun rambut pandai keras, apa lagi untuk minum. Kami terpaksa beli air mineral,” jelas Chung kepada wartawan Sabahkini.net

Menurut Chung, perkara ini telah beberapa kali sudah dilaporkan kepada media massa tempatan namun tidak ada tindakan drastik diambil oleh Jabatan Air Tenom.

Justeru itu, bagi pihak pengguna, Chung meminta Kementerian Infrastruktur yang mengawal selia Jabatan Air ini supaya turut menjalankan siasatan punca sebenar keadaan air seperti itu berlaku.

Selain daripada itu, Chung juga mencadangkan supaya Jurutera Jabatan Air mempastikan air keruh yang di rumah pam dari Sungai Padas dan Pagalan serta loji rawatan benar-benar sudah terawat sebelum dilepaskan kepada para pengguna.

“Mungkin menjadi faktor utama petugas yang tidak bertangungjawab, melepaskan air itu walaupun keadaannya masih keruh lagi, seperti milo susu dan berbau busuk klorin,” kata Chung yang kesal kerana Kementerian Kesihatan enggan menyiasat aduan mereka sekalipun kualiti air di Tenom tidak sesuai untuk ikan apatah lagi manusia.

Kata Chung, jika ikan dalam akuarium pun boleh mati, apatah lagi manusia yang memerlukan air untuk hidup dan kegunaan seharian sehingga membahayakan mereka dan menularkan banyak penyakit iritasi kulit dan ceret beret.

No comments:

Post a Comment