Sunday 31 October 2010

JPN ZALIM KEPADA RAKYAT SABAH?



Saudara Pengarang,

Tahniah dan terima kasih kerana berjaya membawa suara rakyat Sabah dalam portal terkenal ini. Saya berpendapat bukan sahaja Mahali yang mengalami masalah kecelaruan identiti seperti yang terpapar dalam artikel bertajuk DUSUN KINI PEMASTAUTIN SEMENTARA, BUKAN LAGI ANAK NEGERI SABAH?’

Sebenarnya, masih ramai lagi yang mempunyai masalah sedemikian malang terutama di pedalaman seperti Paitan, Pinangah dan banyak lagi kawasan yang terpencil.

Ketika saya bertugas di sebuah ladang swasta di kawasan Sugut, Beluran, ramai pekerja tempatan yang bekerja di ladang tidak mempunyai MyKad, pada hal sudah ada yang bercucu.

Di dalam pengamatan saya, mereka ini tidak peka dan ambil ringan terhadap dokumen MyKad. Tidak kurang pula warga asing yang mengambil kesempatan memberi mereka wang dan minta dijadikan anak angkat. Matlamat mereka untuk mendapatkan MyKad sahaja.

Berbalik pada kes Mahali tadi, ada baiknya beliau menyemak semula permohonan asal untuk mencari punca kesilapan. Kenapa dia diarah memohon kewarganegaraan sedangkan dia adalah penduduk asal Sabah. Ada kesilapan yang tidak disengajakan dan ada kesilapan yang disengajakan berlaku dalam JPN itu sendiri.

Saya pernah dimaklumkan oleh pekerja tempatan dari Sugut, pernah suatu ketika mereka datang ke Beluran untuk urusan kad pengenalan. Mereka sampai ke Beluran agak lewat disebabkan mereka terpaksa melalui jalan laut dan bot hanya 15 kuasa kuda dan tiba kurang setengah jam sebelum tamat waktu pejabat.

Pegawai JPN meminta mereka datang keesokan harinya, namun ketika dapat pada keesokan harinya, pegawai tersebut cuti pula. Untuk mengendali urusan kad pengenalan tersebut, tidak ada pegawai lain yang diberi kuasa.

Di sini kita nampak kelemahan sistem pentadbiran JPN. Sepatutnya jika pegawai tadi tahu dia cuti keesokan harinya, dia kena uruskan permohonan warga Sugut yang jauh di pedalaman tadi. Akhirnya mereka pulang dengan hampa sehinggalah ke hari ini.

Bukankah JPN telah melakukan kezaliman dengan menafikan hak mereka untuk mengundi dan menikmati segala kemudahan yang layak dinikmati Anak Negeri Sabah?

Salam Hormat,

PAMAALANRIDGE

No comments:

Post a Comment