Sunday 31 October 2010

1,615 PENGUNDI POS MENGUNDI ESOK



SERAMAI 1,615 pengundi pos bagi pilihan raya kecil Parlimen Batu Sapi akan mula mengundi Isnin hingga Rabu ini, menurut Pengurus Pilihan raya Batu Sapi Mohd Hamsan Awang Supaan.

Beliau berkata pengundi pos itu membabitkan anggota Polis DiRaja Malaysia, Pasukan Gerakan Am (PGA), Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya anggota polis akan mengundi di Ibu Pejabat Polis Sandakan, anggota PGA di ibu pejabat PGA di Karamunting Selasa ini dan TLDM di Taman Samudera Jalan Labuk pada Rabu ini.

Petugas SPR pula boleh mengundi pada bila-bila masa mulai esok hingga Rabu ini, katanya kepada pemberita selepas pengeluran kertas undi pos dan penyemakan oleh wakil parti yang bertanding di Dewan Masyarakat Sandakan di sini Ahad.

Menurut beliau sejak penamaan calon Selasa lepas, tiada insiden yang tidak diingini berlaku dan pihaknya telah bersiap sedia sepenuhnya untuk menunggu hari mengundi.

Mohd Hamsan berkata semua kertas undi pos akan dimasukkan di peti undi utama di Dewan Masyarakat Sandakan dan hanya akan dikira selepas pukul 5 petang, Khamis ini.

Sementara itu, kertas undi bagi pemilih biasa berjumlah 24,047 keping juga tiba di Dewan Masyarakat Sandakan petang tadi untuk proses penyemakan oleh wakil parti yang bertanding.

Pilihan Raya Kecil Batu Sapi menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan calon Barisan Nasional (BN) Datin Linda Tsen Thau Lin, Datuk Yong Teck Lee (Parti Maju Sabah) dan Ansari Abdullah (Parti Keadilan Rakyat).(BERNAMA)

No comments:

Post a Comment