Saturday 25 September 2010

UMNO DESAK GUGURKAN JAWATAN VK LIEW?

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

BEBERAPA orang pemimpin UMNO Bahagian Tuaran mendesak Perdana Menteri, merangkap Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pusat, Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil tindakan drastik menggugurkan Jawatan Timbalan Menteri yang disandang Presiden Parti Liberal Demokratik Sabah (LDP), Datuk VK Liew kerana mempersendakan BN.

“Kami desak beliau jelaskan pendiriannya berhubung kenyataan Timbalan Presiden LDP, Datuk Chin Su Phin yang menyatakan LDP tidak lagi dapat bekerjasama dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman,” ujar Ketua Penerangan UMNO Tuaran, Haji Ghulabdin Enjin yang terkilan dengan tindakan membisu VK Liew.

Pendirian yang tidak jelas dan amat mengelirukan rakyat yang ditunjukkan VK Liew, kata Ghulabdin menyebabkan ramai parti komponen BN kesal kerana VK Liew tidak lagi mampu mengemudi LDP dengan baik sehingga ditunggang timbalannya.

“Maka dengan ini kami ingin menzahirkan sokongan penuh terhadap kepimpinan Musa selaku Ketua Perhubungan UMNO Negeri Sabah yang telah membuktikan kewibawaan beliau ke arah kestabilan dan kemajuan; memperjuangkan kepentingan rakyat negeri ini," kata Ghulabdin ketika ditemui selepas menghadiri Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di Kilang Koperasi Serbaguna SANYA Berhad (KOSAN) di Tuaran baru-baru ini.

Ghulabdin yang juga Timbalan Pengerusi KOSAN melahirkan rasa kecewa terhadap pucuk pimpinan LDP diketuai VK Liew yang sepatutnya telah mengambil tindakan displin terhadap kebiadaban Chin Su Phin yang secara terbuka menolak pimpinan Musa sebagai Ketua Menteri.

Sikap bongkak yang tidak mengambil kisah terhadap tingkahlaku yang kurang sopan dari Chin Su Phin itu menunjukan VK Liew telah mengelirukan rakyat termasuklah penyokong UMNO dan BN di peringkat akar umbi.

Beliau amat menyokong ketegasan UMNO Bahagian Kudat yang disuarakan oleh Ketua Penerangannya, Haji Gurahman Haji Lolong yang kemungkinan tidak akan memberikan sokongan terhadap LDP di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Kapur seandainya VK Liew masih gagal menunjukkan pendirian jelas terhadap isu yang ditimbulkan oleh Chin Su Phin itu.

"Tindakan mempersoalkan kredibiliti dan kepimpinan Musa dianggap sebagai biadap, celupar dan tidak berdisiplin Chin Su Phin, malangnya semua Majlis Tertinggi LDP melainkan VK Liew telah menyatakan pendirian kurang ajar mereka, kata Ghulabdin yang memperakui UMNO Sabah kental menyokong Musa.

Sementara itu Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Tuaran, Marsah Muyong yang turut menzahirkan sokongan penuh terhadap pimpinan Musa mengesa ahli-ahli UMNO di Bahagian Kudat berpegang kepada ketegasan untuk tidak menyokong LDP dalam pilihanraya ke 13, kerana jelas ahli-ahli UMNO amat kecewa dengan sikap pimpinan LDP yang seperti ‘Kacang Lupakan Kulit’ apabila tidak mengenang jasa dan sokongan UMNO Bahagian Kudat sehingga Calon LDP memenangi dengan selesa kawasan Tanjung Kapur dalam pilihanraya umum Ke-12 lalu.

"Saya bersetuju dengan rakan-rakan ahli UMNO di Kudat yang tidak akan menyokong LDP kerana apalah ertinya sokongan dan menyokong parti apabila pemimpinnya tidak lagi dihormati dan bersikap menikam rakan, bukan lagi dari belakang tetapi secara terang-terangan," tegas Marsah lagi.

Kestabilan dan kecemerlangan pimpinan Musa sejak menjadi Ketua Menteri sehingga menempatkan negeri ini pada tahap yang boleh dicontohi oleh negeri-negeri lain di negara ini, sewajarnya dihargai dan adalah malang sekiranya LDP menerusi Chin Su Phin terlalu ghairah untuk memperjuangkan kepentingan peribadi tanpa menghargai kepentingan rakyat yang mewakili beberapa buah parti dalam komponen BN Sabah.

Dalam pada itu, seorang lagi pemimpin UMNO Bahagian Tuaran, Mohammad Nanti yang juga Bekas Ahli Jawatankuasa UMNO bahagian Tuaran dan Ketua Cawangan Batangan Tuaran, mempersoalkan keenganan Chin Su Phin meminta maaf terhadap kebiadapannya; meskipun terlalu ramai penyokong BN yang menghendakinya berbuat demikian.

“Tindakan mempersoalkan kepimpinan Musa adalah merupakan satu kesilapan yang akibatnya telah melukakan perasaan kebanyakan ahli-ahli UMNO di negeri ini,” kata Mohammad lagi.

Sehubungan dengan itu ketiga-tiga pemimpin UMNO Tuaran ini dengan tegas mendesak pucuk kepimpinan Barisan Nasional (BN) pusat yang diketuai oleh Perdana Menteri, Datuk seri Najib Tun Razak agar mengambil tindakan displin terhadap LDP dengan mengantung Presidennya, VK Liew dari jawatan Timbalan Menteri yang disandang pemimpin berkenaan.

Sekiranya tindakan ini dapat diambil oleh pucuk pimpinan BN, ia akan menjadi pengajaran terhadap kengganan VK Liew mengambil tindakan terhadap Chin Su Phin yang menyebabkan kekecewaan ahli-ahli UMNO di peringkat akar umbi tercetus di negeri ini.

No comments:

Post a Comment