Friday 24 September 2010

SPRM SABAH SEPERTI AYAM JANTAN?



Oleh: QUADRA ESMAIL

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Sabah (SPRM) hanya seperti ayam jantan yang koko berderai-derai tetapi buntut penuh tahi berhubung pendedahan SPRM yang hanya menerima 251 kes bagi Januari sehingga Ogos 2010.

Ketua Penerangan Angkatan Muda PKR Sabah, Zainuddin Hassan menyatakan demikian sebagai mengulas kenyataan Pengarah SPRM Sabah, Haji Jalil Jaafar yang memaklumkan bahawa kes rasuah di Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 0.04 peratus.

“Saya tidak tahu sama ada Pengarah SPRM hanya menghabiskan masa di Pejabat atau memantau siasatan kes kerana beliau mengakui SPRM hanya membuka sembilan fail siasatan kes bagi tempoh lapan bulan lalu, iaitu daripada 251 kes yang dilaporkan, namun tidak ada tangkapan dibuat. Macam mana mereka kerja saya pun tidak tahu,” kata Zainuddin yang mendakwa membuat lebih lima laporan berhubung rasuah dan salahguna kuasa, namun tidak ada sebarang tindakan tiambil.

Lebih memalukan kata Zainuddin, Jalil membuat kenyataan tersebut selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Keutuhan Tadbir Urus (JKTU) Kerajaan Negeri, di Kota Kinabalu yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman; yang didakwa sebagai tokoh paling banyak melakukan kes rasuah dan salahguna kuasa namun enggan disiasat SPRM walaupun berkoyan laporan dibuat.

Zainuddin menekankan, pihaknya ada membuat laporan rasmi berhubung kegiatan kuari haram di Lahad Datu yang dilindungi Ahli Parlimen dan Adun Lahad Datu sejak lebih 20 tahun lalu, namun SPRM hanya menutup mata mereka sekalipun Jabatan Alam Sekitar menolak EIA yang disediakan dan syarikat berkenaan telah menceroboh hutan simpan.

“Kenapa Fordeco begitu kebal daripada tindakan SPRM? Kalau satu hari tidak apa, tapi kes ini sudah lebih 20 tahun sehingga penduduk Kampung Silam menggelar SPRM berkepala batu kerana enggan mengambil tindakan terhadap pemilik kuari berkenaan; yang bukan sahaja mencemar alam sekitar, malah membiayai semua kegiatan haram di Lahad Datu dan Kinabatangan,” ujar Zainuddin yang mendesak agar Pengarah SPRM Sabah digantikan dengan pegawai yang lebih proaktif untuk memerangi rasuah di Sabah.

Kes kuari di Keningau yang kononnya diserbu SPRM dibuka semula malah lebih bermaharaja lela daripada sebelumnya dan Kuari Fordeco di Kampung Silam, Lahad Datu belum pernah disentuh pihak berkuasa.

No comments:

Post a Comment