Thursday 30 September 2010

SKMM MENGHIDAP SCHIZOPHRENIA?



Saudara pengarang,

ARAHAN Suruhanjaya Komunikasi dan Multi Media untuk menutup portal Sabahkini.net menunjukkan tradisi ‘pecah dan perintah’ yang diamalkan kerajaan kini termasuk pegawai SKMM yang semakin menular, sehingga ke tahap ‘tidak masuk akal’ dan sampai ke tahap Schizophrenia.

Inilah antara sikap prejudis yang wujud dalam sistem pentadbiran kerajaan sejak dahulu hingga sekarang. Sikap prejudis inilah menyebabkan sebahagian besar rakyat di negara ini semakin muak dan merasakan perlunya peralihan kuasa sekaligus kewujudan sistem yang lebih sesuai dengan kehidupan generasi masa kini yang semakin matang, celik IT dan mampu menilai buruk baiknya sistem yang sedang diguna pakai ketika ini.

Tidak mampu dibayangkan betapa besarnya kesan negatif yang disajikan oleh laman-laman lucah, perjudian selain lambakan blog-blog parti-parti politik di Semenanjung Malaysia pada masa ini yang jelas sekali ‘ibarat langit dan bumi’ jika portal Sabahkini.net dijadikan perbandingan.

Tindakan menjatuhi ‘hukuman mati’ terhadap portal Sabahkini.net ketara sekali menyerlahkan ‘rasa tidak puas hati’ serta menerima impak ekoran pendedahan Sabahkini.net yang telah membongkar kejalangan segelintir golongan ‘untouchable of the Untouchable’ yang terus mengaut kesenangan melalui cara ‘penindasan’ terhadap rakyat serta merompak hak rakyat jelata tanpa dikesan; malahan diketahui umum sebagai pihak-pihak yang didalangi oleh orang atasan dalam sistem pentadbiran kerajaan ketika ini.

Berita-berita sensasi yang didedahkan oleh Sabahkini.net sepanjang tahun 2010 ini saja sudah cukup untuk menjelaskan perkara tersebut. Pada hemat saya, matlamat portal Sabahkini.net adalah sama dengan halatuju perjuangan wira-wira serta negarawan masa lampau yang mahu menyuarakan kehendak rakyat jelata sehingga membawa kepada peristiwa penentangan secara fizikal seperti peperangan dan sebagainya.

Perjuangan masa lampau dengan halatuju yang suci itu tidak dapat dinafikan sebagai salah elemen yang membentuk lanskap sesebuah kerajaan pada masa ini termasuklah negara Malaysia.

Mujurlah kaedah perjuangan untuk menyuarakan ketidakpuasan hati rakyat ekoran kejalangan segelintir manusia pada zaman moden ini sekadar diperjuangkan melalui laman-laman web.

Bayangkanlah kesan yang berlaku dalam sejarah ‘Revolusi Perancis’ di masa lampau, sehingga mengubah lanskap sebuah negara Feudal kepada sebuah negara yang dibentuk oleh satu pemborantakan rakyat yang sudah tidak mampu menahan penderitaan, mahupun rasa tidakpuas hati terhadap golongan-golongan penindas yang dilindungi oleh satu sistem pemerintahan yang ‘pincang dan uzur akibat penyakit rasuah.’

Hakikat inilah yang menyebabkan saya terpanggil untuk menyuarakan ‘kekecewaan’ ekoran sikap prejudis yang terus-menerus berlaku dalam sistem pentadbiran kerajaan ketika ini.

Pada hemat saya, portal Sabahkini.net adalah satu-satunya wadah untuk rakyat Sabah menyampaikan kepincangan ‘keterlaluan’ yang terus menghantui orang awam sepertimana yang saya dan ratusan lagi rakyat yang ditindas oleh seorang Pegawai Polis di Balai Polis Daerah Kunak pada tahun lepas; serta ketidakadilan yang dilakukan terhadap ratusan penduduk di Kinabatangan sehingga saat ini akibat ‘Salahlaku Segelintir Individu’ yang mahu mengaut kekayaan menerusi ‘Penindasan Ke Atas Rakyat Jelata.’

Oleh itu, kepada pembaca-pembaca portal Sabahkini.net, marilah kita bersatu menyokong perjuangan Sabahkini.net dengan menyuarakan sokongan melalui penulisan dan salurkan sokongan padu kita ke laman-laman web sedia ada agar tindakan SKMM mengeluarkan arahan menutup blog Sabahkini.net ini dibantah sekeras-kerasnya kerana TIDAK MASUK AKAL.

Sekian, Terima kasih.

Salam Hormat,

PANGAZOU

No comments:

Post a Comment