Thursday 30 September 2010

SABAH DIBANJIRI PEKERJA SEMENANJUNG?



PARTI Maju Sabah (SAPP) berjanji akan memperbetulkan masalah kebanjiran tenaga kerja muda dari Semenanjung Malaysia yang dilihat merampas peluang kerja para belia di negeri ini.

Presiden SAPP, Datuk Seri Panglima Yong Teck Lee berkata, perkara itu boleh diatasi melalui Borneonisasi yang terdapat dalam 20 Perkara kerana penduduk tempatan harus diberi keutamaan mendapat pekerjaan di negeri.

"Borneonisasi yang terdapat dalam 20 Perkara itu jelas menyatakan bahawa penduduk tempatan harus diberi keutamaan memegang jawatan di negeri ini. Kita akan melakukan apa yang sewajarnya untuk memperbetulkan ketidakseimbangan dalam perkhidmatan awam Persekutuan di Sabah," katanya.

Beliau berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan cawangan-cawangan SAPP bagi Jawatankuasa Perhubungan Pusat (CLC) Pantai Manis dan Kawang, di sini.

Seramai 400 juruteknik dari Semenanjung dilaporkan sedang bekerja di negeri ini bagi menyelenggara komputer sekolah-sekolah di seluruh Sabah.

Berita tentang kehadiran para juruteknik itu seperti yang dilaporkan akhbar-akhbar tempatan adalah sangat mengejutkan kerana terdapat ramai belia di negeri ini yang mempunyai kemahiran komputer tetapi masih menganggur.

Teck Lee seterusnya menggesa para ahli parti memperhebatkan gerakan dan memperkuatkan jentera pilihanraya di Papar dan Kinarut kerana SAPP menerima banyak sambutan dan dilihat sebagai sebuah parti yang cukup tersusun dan kukuh untuk memerintah Sabah.

Beliau berkeyakinan tinggi bahawa semangat orang-orang Sabah untuk mengubah tampuk kerajaan sudah membara. Manakala pemimpin BN juga bercakaran sesama sendiri hanya disebabkan perkara yang remeh-temeh seperti isu nombor plat kenderaan.

“Mereka bertengakar dalam surat khabar seperti kanak-kanak kecil, ianya perkara yang memalukan, sedangkan isu-isu besar masih tidak selesai. Ini mendedahkan sikap buruk mereka”

Beliau juga menyarankan agar usaha menambah ahli di kawasan Pantai Manis dan Kawang ditingkatkan untuk mengukuhkan lagi kedua-dua kawasan tersebut. “penambahan kekuatan ini adalah usaha yang berterusan”

Sementara itu, turut berucap pada majlis itu ialah, Datuk Eric Majimbun Timbalan Presiden merangkap Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Hj Mohd Noor Mansoor bekas Menteri Kewangan dan Encik Saidi Lampoh seorang aktivis politik yang menyertai SAPP baru-baru ini.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Datuk Liew Teck Chan, Timbalan Presiden merangkap wakil rakyat Likas, Datuk Frankie Chong Timbalan Speaker yang juga Naib Presiden.

Ahli Parlimen Tawau dan Naib Presiden Datuk Dr. Chua Soon Bui, Don Chin (Naib Presiden), Jimmy Jawatah, Naib Presiden, Poon Kee Yang (Naib Presiden) Datuk Richard Yong (Setiausaha Agung), En. Chong Pit Fah, Ketua penerangan serta ahli-ahli Majlis Tertinggi yang lainnya juga hadir. Beberapa calon yang menawarkan diri untuk pemilihan parti November ini juga turut hadir.

Terdahulu Edward Dagul selaku Pengerusi CLC Pantai Manis dan Kawang di dalam ucapannya menyeru agar ahli-ahli di kedua-dua kawasan terus tabah menghadapi cabaran-cabaran yang mendatang. Beliau berkata usaha gigih dan ketabahan ahli-ahli ini merupakan kekuatan yang tidak terdapat di dalam parti lain.

Pemimpin BN pula hanya tahu mengejar projek dan sebaliknya tidak mengendahkan keperluan rakyat. Adalah menjadi kebiasaan mereka untuk turun padang hanya semasa pilihanraya. Sementara itu Parti Maju Sabah (SAPP) pula tidak menunggu hanya pilihanraya, tetapi terus bergerak kehadapan dan melawat kesemua kawasan.

Beliau berkata jadual ketat ini bukanlah perkara yang memenatkan tetapi adalah atas dasar tanggungjawab kepada rakyat.

“SAPP, akan meneruskan khidmatnya kepada rakyat tanpa mengira musim”.

No comments:

Post a Comment