Sunday 19 September 2010

KEKALKAN IMEJ SABAH DI MEKAH



LABAIKALLAH...Datuk Nasir (kiri) diringi Tengku Aziz Raja Abdullah (dua kiri) bersalaman dengan sebahagian 600 bakal jemaah haji sempena perasmian kursus Haji Perdana peringkat Negeri Sabah 1431/2010 bagi kawasan Pantai Barat di masjid Negeri Sabah Sembulan.

Oleh: ARSHAD HUSSIN

BAKAL-BAKAL haji Negeri Sabah diingatkan sentiasa mematuhi peraturan-peraturan pihak berkuasa Arab Saudi dan Tabung Haji Malaysia semasa mengerjakan ibadat haji di tanah suci Mekah.

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, menjelaskan Kerajaan Arab Saudi seringkali mengkagumi jemaah haji Malaysia sebagai jemaah haji yang mempunyai akhlak terpuji.

Oleh itu kata Nasir, bakal-bakal haji negeri Sabah juga diharapkan terus mengekalkan rekod terbaik yang telah dipegang selama ini demi menjaga nama baik Negara Malaysia sebagai sebuah Negara Islam yang disegani.

Nasir berkata, pelaksanaan ibadat haji memerlukan kekuatan jasmani atau fizikal yang baik dan memerlukan pergerakan yang banyak seeperti mengerjakan tawaf, sa’ie, melontar jamrah dan jemaah hendaklah sentiasa menjaga kesihatan.

Datuk Nasir yang juga Menteri bertanggungjawab mengenai Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah berkata demikian sempena merasmikan Kursus Haji Perdana Musim haji 1431H/2010M Peringkat Negeri Sabah bagi kawasan Pantai Barat di sini.

Hadirsama sempena majlis itu, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri Dan Penyelidikan, Jabatan Ketua Menteri merangkap Ahli Majlis Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji Sabah, Haji Mokthar Yassin Ajam; Pengurus Besar bahagian Bimbingan, Tengku Aziz Raja Abdullah; Pengarah Tabung Haji Sabah, Haji Mohd Norber Kassim dan Setiausaha Sulit Kepada MJKM, Haji Yahamad Haji Budin.

Kursus Haji selama dua hari bermula 18 September itu disertai lebih 600 orang bakal haji dari kawasan Pantai Barat Sabah dan bertujuan melahirkan jemaah haji yang mempunyai pengetahuan yang mantap dari sudut ibadat, khususnya ibadat haji sebelum berangkat ke Tanah Suci Mekah Al-Mukarramah; serta mendedahkan kepada peserta kursus suasan dan persekitaran jemaah yang ramai semasa melaksana ibadat haji, di samping memberi maklumat mutakhir berhubung pengurusan haji sama ada di tanah air atau di tanah suci Mekah dan membantu mendapatkan haji yang mabrur.

No comments:

Post a Comment