Friday 27 August 2010

SPRM SIASAT PENYELEWENGAN USIA



Oleh: KREW SABAHKINI.NET

RATA-RATA ahli Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) mengimpikan badan agama yang ditubuhkan sejak tahun 1969 akan menjadi pelindung untuk memayungi umat Islam di Sabah. Begitulah tingginya harapan dan sandaran masyarakat Islam dan USIA telah bertungkus lumus bergerak ke arah itu. Namun setelah ia kini hampir 41 tahun usia penubuhannya, USIA dikatakan kini melangkah menuju penghujung usianya.

Malah ada yang mengibaratkan permasalahan yang menimpa badan itu bagaikan penyakit yang menyerang manusia, kalau ia terus dibiarkan begitu sahaja ia bakal menjadi barah yang boleh memusnahkan badan agama, yang sebelum ini banyak memberi sumbangan dalam pengembangan syiar Islam di negeri bawah bayu ini.

Ramai kalangan pemerhati berpendapat bahawa kemelut yang ada dalam USIA perlu dicegah dan diubati segera dengan menyingkirkan beberapa individu dalam pentadbiran tertingginya yang menjadi virus yang dibimbangi akan menamatkan riyawat hidup USIA.

Jangan sampai badan ini terkubur tanpa jasad sebab itu usaha perlu digemblengkan bagi menyelamatkannya daripada terus dimamah virus individu yang berkepentingan di dalamnya.

Paling menyedihkan baru-baru ini, badan agama yang boleh dikatakan menjadi kebanggaan umat Islam kerana perjuangannya menggerak aktiviti dakwah telah menjadi sasaran penyiasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang seharusnya tidak berlaku pada sebuah badan NGO Islam.

Walaupun ianya masih di peringkat siasatan dan belum ada sebarang keputusan mengenainya sama ada berlakunya kes-kes penyelewengan kewangan pertubuhan terutamanya yang mengaitkan individu tertentu yang berkepentingan; tetapi sebenarnya situasi ini sedikit-sebanyak telah mencalar imej dan nama baik USIA.




Semua ini berpunca daripada tindak-tanduk segelintir individu yang menjadi pentadbir dalam pertubuhan tersebut yang boleh diibaratkan ‘kerana nila setitik rosak susu sebelanga’.

Tindakan SPRM untuk menyerbu pejabat badan itu di Sembulan difahamkan disebabkan wujudnya unsur penyelewengan kewangan pertubuhan tersebut yang disyaki disalahgunakan oleh pihak pentadbiran di mana USIA yang memperolehi sumber kewangan yang banyak hasil dari pembangunan tanah miliknya di 1Borneo bernilai jutaan ringgit.

Namun hanya tinggal ratusan ribu ringgit sahaja dalam akuan semasa USIA. Yang menjadi tanda tanya besar, ke mana sejumlah wang daripada puluhan juta itu telah dibelanjakan dalam tempoh yang singkat.

Ekoran itu timbul pelbagai keraguan yang menyebabkan SPRM tampil melihat apa yang sebenarnya berlaku dan seterusnya cuba merungkai kemelut melanda badan agama itu.

Sebelum ini USIA juga dikatakan telah memberikan hadiah atau mungkin boleh dianggap saguhati kepada beberapa ahli majlis tertingginya yang terpilih sebanyak RM10,000 seorang. Sesetengah yang lain difahamkan hanya menerima RM5,000, tetapi ada juga yang didakwa tidak menerima langsung.

Ada juga yang lain yang merasakan tidak wajar menerima habuan seperti itu mengambil keputusan mengembalikannya kepada USIA kerana sedar wang tersebut adalah hak milik (badan agama tersebut.

Bagaimanapun berdasarkan maklumat mereka yang mengembalikan habuan tersebut kepada USIA, kemasukan wang yang dikembalikan itu pula gagal dikesan dalam akuan USIA dan ini memberi petanda, wang tersebut mungkin telah tersangkut di pertengahan jalan.

Perkara inilah yang menimbulkan seribu tanda tanya yang mungkin hanya mampu dijawab oleh Setiausaha Agungnya, Datuk Haji Abdullah Hussin yang kini terpaksa turun naik ke pejabat SPRM, gara-gara lesapnya wang dalam akaun pertubuhan berkenaan.

Beberapa ahli majlis tertinggi USIA yang enggan bersengkokol dengan kontroversi yang berlaku, memberitahu, biarlah kes ini disiasat oleh SPRM yang mana ketika ini masih dalam proses penyiasatan dan difahamkan kes itu juga dikatakan sudah dikemukakan ke ibu Pejabat SPRM di Putrajaya untuk tindakan selajutnya.

Ekoran isu gawat tersebut, ada kalangan Ahli Majlis Tertinggi USIA mendesak agar Abdullah Hussin berundur dan meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung kerana beliau sebagai peneraju utama dalam jentera pentadbiran USIA) dilihat telah gagal melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sehingga membawa pertubuhan tersebut ke kancah penyelewengan yang sepatutnya tidak berlaku di dalam sesebuah badan agama.

Pada peringkat awal ini, mereka mencadangkan supaya Abdullah Hussin yang mencetuskan kontroversi itu seharusnya bertanggungjawab sepenuhnya dan beliau wajar mengambil cuti rehat bagi melicinkan proses penyiasatan kes penyelewengan di dalam pertubuhan tersebut.

Bagaimanapun sehingga ini Yang Dipertuanya, Tun Haji Sakaran Dandai belum bersedia memberikan sebarang isyarat berhubung cadangan tersebut. Ini bermakna Abdullah masih lagi boleh meneruskan permainan dan percaturan di dalam pentadbiran USIA.

Sekiranya Abdullah direstui untuk mengambil cuti rehat, mungkin tiada masalah besar bagi USIA untuk mencari penggantinya buat sementara waktu memandangkan Datuk Haji Arshad Edris selaku Penolong Setiausaha Agung yang sememangnya berpengalaman boleh mengambil alih tugas tersebut.

Kebanyakan AMT juga mendakwa semenjak Abdullah Hussin dilantik menjadi Setiausaha Agung, pertubuhan tersebut menghadapi banyak kepincangan terutamanya dalam soal pentadbiran dan juga pengurusan kewangan yang tidak teratur dan tidak mengikut peraturan.

Menurut mereka, perbelanjaan yang tidak berhemah termasuklah perlaksanaan program yang tidak berjadual menjadikan ada program dakwah pertubuhan tersebut terpaksa berbelanja besar namun impaknya terhadap usaha memperkukuhkan gerakan dakwah dan Islamiah tidak membawa kesan positif terhadap masyarakat Islam.

Ia lebih menjurus kepada pembaziran dan menguntungkan kepada setengah pihak sahaja. Kekerapan pegawai-pegawai keluar daerah melaksanakan program,malah ada yang sepatutnya tidak perlu keluar daerah turut membuat tuntutan elaun perjalanan juga dianggap sebagai satu pembaziran kewangan USIA.

Projek Tanaman Gaharu yang dicetuskan oleh Abdullah Hussin bukannya keputusan Ahli Majlis Tertinggi juga dianggap sebagai projek pembaziran kerana dari segi pulangan ekonomi kepada ahli dan masyarakat Islam sebenarnya ianya tidak dapat memperkasakan ekonomi masyarakat Islam secara keseluruhannya.

Pemilihan syarikat pembekal benih gaharu tanpa sebarang sebutharga dengan penjualan sepohon benih gaharu mencecah RM9.00 sedangkan harga di pasaran boleh dibeli sekitar RM3.00 sepohon juga menimbulkan keraguan ditambah pula bekalannya ke bahagian tidak memenuhi keperluan yang diharapkan malah ada beberapa ahli sehingga kini belum mendapat sebarang bekalan dari pembekal menimbulkan tanda tanya dan selepas pengagehan ini tidak ada susulan projek yang dianggap hanya melepas batuk ditangga dan kesannya adalah pembaziran kepada kewangan (USIA)

AMT turut mendakwa sikap berlembut Tun Sakaran sebagai YDP USIA diambil kesempatan sepenuhnya oleh individu berkepentingan ini untuk melaksanakan agenda mereka khususnya yang boleh memberikan keuntungan untuk diri sendiri di mana Tun Sakaran diberikan penjelasan yang kurang tepat mengenai perjalanan program dan pentadbiran ibu pejabat USIA.

Natijahnya ketika ini pentadbiran ibu pejabat USIA berada dalam keadaan yang kucar-kacir dan dalam masa yang sama wujud pula kem-kem tertentu dalam pentadbiran di peringkat ibu pejabat yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Masalah ini semakin menjadi rumit apabila orang kedua yang cukup penting dalam jentera pentadbiran ibu pejabat iaitu Setiausaha Kerjanya, Misnan Warman yang tidak berwibawa dan komited dalam bidang tugasnya. Beliau sepatutnya sudah layak bersara, namun masih terus bekerja menjadikan jentera petabdiran USIA lemah dan tidak bermaya.

Bukti paling menyedihkan ialah apabila USIA telah menerima surat merah dari Pendaftar Pertubuhan (ROS) berupa notis pengantungan ratusan cawangan-cawangan USIA di bebarapa bahagian di negeri ini

Masalah ini tidak dianggap serius oleh Abdullah dan Misnan selain kedua-dua individu ini cuba untuk menegakkan benang basah dan menampilkan keegoan dalam jentera pentadbiran dengan menekan beberapa pekerja di ibu pejabat, termasuklah memindahkan pegawai-pegawainya seperti bola dari satu unit ke unit lain. Dua pegawai ini amat bijak melakonkan watak mereka di hadapan YDP USIA.

Apapun kesimpulannya USIA kini boleh diibaratkan sedang menuju ambang penghujung usianya jika tidak ada tindakan drastik daripada pucuk kepimpinan tertinggi bagi menangani masalah yang sedang melanda badan agama itu ketika ini.

Ahli majlis tertinggi mungkin perlu bertanggungjawab melihat kepincangan ini dengan membuang rasa segan mereka kepada Tun Sakaran untuk menyuarakan pandangan dan nasihat mereka kepada pemimpin nombor satu USIA itu agar kelemahan dan masalah yang melanda ketika ini perlu ditangani dengan segera.

Salah satu jalan terbaik ialah dengan menyingkirkan mereka yang membawa imej busuk kepada USIA di mata masyarakat Islam di negeri ini. Lebih-lebih lagi dengan bilangan keahlian dianggarkan seramai 40,717 orang, USIA sepatutnya menjadi badan agama contoh di Sabah dan ia selayaknya dipertahankan di tahap kedudukan tersebut.

Tindakan orang terpenting dalam USIA, Datuk Seri Lajim Ukin meletakkan jawatan sebagai Timbalan Yang Dipertua (USIA) sebelum ini dikatakan ada kaitan dengan kekecewaan beliau dengan sikap pentadbiran USIA yang baginya tidak memperlihatkan ciri-ciri sikap amanah dan didikasi dalam melaksanakan tugas mereka.

Malah, ketika dalam satu mesyuarat dengan pegawai pegawai ibu pejabat USIA tidak lama dulu, Lajim menekankan betapa pentingnya soal pengurusan pentadbiran dan kewangan USIA diurus dan ditabirkan sebaik mungkin.

Bagaimanapun saranan Janang Gayuh itu menimbulkan rasa kurang senang beberapa individu yang berkepentingan di ibu pejabat USIA, kerana itu, Lajim mengambil pendirian untuk mengundurkan diri dari pertubuhan berikan kerana beliau sebenarnya sudah terhidu unsur-unsur untuk mensabotaj beliau di dalam USIA itu sendiri.

Selepas mengucapkan sayonara kepada USIA, Lajim kini menjadi Pengerusi Perkim Sabah, pertubuhan yang kini diketuai bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Apakah Perkim Sabah akan menjadi pesaing USIA selepas ini, lebih-lebih lagi dengan keadaannya sekarang yang terlalu berserabut untuk menyelesaikan masalah dalaman?

No comments:

Post a Comment