Monday 30 August 2010

RUKUN TETANGGA MEKANISME PERPADUAN



SUMBANGAN…..Au sedang memberi sumbangan wang ehsan kepada salah seorang penduduk taman berkenaan.

Oleh: SHAIMON S JUMADI

AHLI Dewan Undangan Negeri kawasan Elopura, Au Kam Wah menyeru penduduk-penduduk Taman Mesra tidak mengira fahaman politik dan anutan agama hendaklah sentiasa menjalinkan hubungan baik demi memupuk semangat setia kawan antara satu sama lain.

Kewujudan Rukun Tetangga (RT) di kawasan perumahan Taman Mesra ini bukan hanya setakat dapat membantu pihak keselamatan memantau dan membanteras kegiatan jenayah di persekitaran kawasan ini, bahkan ia menyeluruh dalam pelbagai aspek yang berkaitan dengan perpaduan masyarakat setempat.

Ini jelas terbukti pada majlis petang ini kerana masyarakat yang berbilang kaum dapat hadir sama-sama untuk berbuka puasa secara bersama dan merupakan satu pendekatan yang baik, terutama bagi masyarakat yang tinggal dalam satu taman dan rentetan hasil daripada kewujudan kerjasama yang erat, maka majlis sebegini dapat dilaksanakan dengan jayanya.

Au berkata demikian ketika berucap di majlis Berbuka Puasa dengan ahli-ahli Rukun Tetangga Zon 1, Taman Mesra, dekat sini kelmarin.

Katanya pada setiap tahun, setiap kali Ramadan, pihaknya menganjurkan program seumpama ini yang menjadi salah satu agenda untuk merapatkan siratulrahim di kalangan masyarakat majmuk di taman ini.

Sementara itu dalam ucapan ringkasnya, Pengerusi Rukun Tetangga Zon 1, Hajjah Ainah Hamit, antara lain menjelaskan dengan kewujudan RT di kawasan taman itu, sedikit sebanyak dapat mengawal kenakalan remaja samseng yang sering melakukan kegiatan maksiat seperti berjudi, minum arak, menghidu gam, membuat bising di tengah-tengah malam, pergaduhan dan merosakan harta benda penduduk.

Sebelum ini kata Hajjah Ainah, kawasan sekeliling taman sering menjadi tumpuan budak-budak liar, namun dengan adanya rondaan secara berkala polis peronda pada saban malam, kejadian jenayah semakin berkurang.

Di majlis berkenaan, seramai 50 orang miskin tegar turut menerima sumbangan hari raya berupa wang ehsan daripada ADUN berkenaan.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Pegawai Perpaduan Daerah Sandakan Puan Rosmah Wadi; Pemimpin Kemajuan Rakyat (PKR) Elopura Chan Tzun Hei; Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Elopura Mohd Hj Utung dan beberapa pegawai kanan PDRM daripada IPD dan Balai Polis Pondok Bandar Kim Fung.

No comments:

Post a Comment