Friday 20 August 2010

PERPINDAHAN AHLI PERKARA BIASA!



Oleh: JACKSON LU

TIMBALAN Ketua Bahagian PKR Pensiangan, Affendy Hasbollah Angindih menolak dakwaan kononnya Ketua Bahagian PKR Danny Andipai tidak menerima notis mengadakan mesyuarat pemilihan pada September ini sebagai dusta dan sebagai suatu gimik semata mata yang bertujuan untuk mengucar-kacirkan lagi proses persiapan pemilihan itu.

“Janganlah ada lagi jenis pemimpin yang bersikap mengada-ada yang mahu melihat PKR terus berterabur dan berpecah-belah hanya kerana tamakkan kuasa dan tidak mahu mengaku kalah di tangan rakyat mengikut proses suara majoriti,” tegas Angindih ketika memberitahu Krew Sabahkini.net pada Jumaat.

Mengenai dengan dakwaan berhubung keciciran ahli dalam senarai cabang, Angindih berkata ia adalah menjadi perkara biasa kerana setiap cabang mempunyai urusetia yang bertanggung jawab mengurus dan menangani masalah tersebut; yang bukan sahaja dialami di kawasan-kawasan lain di Sabah tetapi kawasan Pedalaman khususnya Pensiangan juga tidak terkecuali.

Menyentuh berhubung perpindahan kawasan bagi Naib Presiden PKR, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dari Keningau ke Pensiangan, Angindih berkata, ia merupakan proses biasa yang mengikut Perlembagaan parti dan tidak seharusnya menjadi persoalan besar.

“Pokoknya perpindahan seseorang ahli itu telah diluluskan oleh Pusat dan sebaliknya bukan dibuat buatnya sendiri,” ujar Angindih yang kesal dengan dakwaan Andipai.

Tegas Angindih, PKR yang mengamalkan sistem demokrasi tulen, membolehkan sesiapa juga ahli yang sah, boleh bertanding apa-apa jawatan dalam parti termasuk Ketua Cabang.

“Kalah atau menang dalam pemilihan merupakan perkara biasa. Tetapi dalam PKR, sama ada dia kalah tidak bererti dia kalah terus, manakala bagi yang menang bukan menang terus dan menjadi kebanggaannya. Tetapi yang bangga adalah imej PKR menjadi bersih di mata rakyat,” tegas Angindih.

Angindih yang akan bertanding mempertahankan jawatan yang dipegangnya selaku Timbalan Ketua Cabang PKR Pensiangan, optimis bahawa beliau tidak akan bermasalah untuk mempertahankan jawatan itu bersama-sama dengan calon Ketua Cabang, Datuk Dr Jeffrey Kitingan pada pemilihan 19 September akan datang, yang dijangka akan diadakan di Hotel Perkasa, Keningau.

No comments:

Post a Comment