Friday 27 August 2010

NGO DAKWA RAKYAT MAHU IA DITERUSKAN

POLITIK.... Nagaraju dakwa bantahan ini dipolitikkan untuk mendapat publisiti murahan sedangkan warga Lahad Datu perlukan loji arang batu sebagai sumber bekalan elektrik.

BIARPUN laporan penilaian impak alam sekitar terperinci (DEIA) bagi cadangan loji janakuasa arang batu 300 megawatt di Sinakut, Lahad Datu ditolak oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) baru-baru ini, rata-rata anggota masyarakat di kawasan Pantai Timur Sabah masih mahukan projek itu diteruskan, kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Perhimpunan Rakyat, A Nagaraju.

Bernama melaporkan beliau berkata masyarakat di kawasan itu sememangnya mengharapkan projek tersebut menjadi kenyataan kerana melihat kepada peluang ekonomi yang akan dibawa ke kawasan berkenaan.

Menurutnya isu pembinaan loji di Sinakut itu sengaja dipolitikkan oleh sesetengah pihak yang ingin mencari publisiti murah tanpa menghiraukan kehendak masyarakat setempat.

Beliau seterusnya memohon agar Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang membuat pengumuman mengenai tapak pembinaan loji arang batu itu di Sinakut tahun lalu, menasihatkan Lahad Datu Energy Sdn Bhd, syarikat pakar runding yang diamanahkan untuk membina loji itu, mengemaskini laporan DEIA dengan segera agar ia diterima oleh JAS.

"Kami juga memohon agar JAS menerima beberapa orang anggota dari kalangan masyarakat Pantai Timur Sabah untuk menyuarakan pandangan mengenai projek ini," menurutnya dalam satu kenyataan di Kota Kinabalu hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, media melapokan JAS menolak DEIA dengan alasan banyak parameter penting alam sekitar berhubung projek yang dicadangkan itu tidak ditangani dalam laporan DEIA berkenaan, dan Isnin lepas Tenaga Nasional Bhd dalam satu kenyataan berkata anak syarikatnya, Lahad Datu Energy Sdn Bhd akan menghantar laporan DEIA yang disemak semula bagi projek itu.

Parti bebas - Sapp minggu lalu juga berikrar akan membatalkan tiga projek kontroversi kerajaan persekutuan ‘apabila mereka berkuasa’ di Sabah pada pilihan raya umum akan datang.

Presidennya, Yong Teck Lee berkata mereka akan memenuhi janji itu kerana kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk menghentikan projek-projek berkenaan dan antaranya termasuk loji janakuasa arang batu itu.

Sehingga itu, katanya Sapp akan mengenakan tekanan ke atas kerajaan persekutuan dan memberi amaran pihaknya akan menganjurkan perhimpunan besar-besaran jika bantahan rakyat terus tidak dihiraukan.

Sebelum ini, cadangan membina loji janakuasa arang batu itu di dua lokasi yang lain mendapat bantahan penduduk tempatan sebelum kerajaan negeri bersetuju memindahkannya ke Lahad Datu. Ini kerana ia didakwa memusnahkan alam sekitar.

No comments:

Post a Comment