Friday 27 August 2010

KETUA CAWANGAN GESA TPM CAMPURTANGAN



Oleh: INTAN SURIANI MOHD AIDALA

SERAMAI 70 Ketua Cawangan UMNO Bahagian Silam mendesak Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin campurtangan berhubung pemecatan Timbalan Pengerusi LDP Silam, Chong Su Vun sebagai Ketua Pegawai Perhubungan Ahli Parlimen Silam, Haji Salleh Kalbi pada 19 Ogos lalu.

Jurucakap mereka, Kunsul Nahul, menggesa Muhyiddin menasihatkan Salleh agar tidak menjadikan LDP sebagai ‘arang’ untuk membakar ‘Satey Politik’ nya yang semakin malap di Silam ekoran kegagalannya mentadbir Parlimen Silam yang disifatkan sebagai bertambah mundur sejak Salleh menjadi Ahli Parlimen Silam.

“Kita tidak mahu pemecatan Chong akan menghakis kepercayaan para pengundi Tiong Hua di Silam, apatah lagi perlantikan birasnya menyebabkan UMNO ditohmah sebagai berlaku ‘sumbang muhram’ kepada ahli Parti komponen yang lain,” ujar Kunsul.

Tegas Kunsul, memandangkan Chong dilantik oleh Jabatan Ketua Menteri, maka pemecatan atau penggantungan tugasnya haruslah mengikut saluran yang sah.

“Sehubungan itu, kita meminta jasa baik Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menasihati Salleh membatalkan semula ‘percutian’ Chong bagi membolehkan UMNO mempertahankan kerusi Parlimen Silam yang mungkin terlepas kepada pembangkang kerana sikap tidak professional Salleh,” ujar Kunsul yang melihat isu ini daripada kaca mata orang Cina yang terkilan oleh tindakan Salleh, bimbang ianya akan menjadi isu perkauman.

Kata Kunsul, dalam keadaan genting seperti sekarang, UMNO tidak boleh melakukan sebarang kesilapan kerana penghijrahan sebahagian kecil pengundi Tiong Hua mampu mengubah pola sokongan pengundi pada setiap pilihanraya.

Walaupun pada pilihanraya umum 2008, Salleh berjaya menewaskan Calon PKR, Hashbullah Imam Ohang @ Mohd Taha dengan majoriti 9,792 undi, namun mengikut fakta sebenar UMNO kalah di Parlimen Silam kerana UMNO Silam mempunyai 37,284 ahli sedangkan PKR hanya mempunyai 327 ahli pada pilihanraya berkenaan.

Jika mengambil kira jumlah pemilih berdaftar seramai 43,488 berbanding jumlah ahli UMNO Silam seramai 37,284 ahli, kata Kunsul, sepatutnya Salleh boleh memperoleh lebih 30,000 undi (17,284 ahli UMNO tidak boleh mengundi) termasuk undi daripada Parti Komponen BN; namun ramai ahli UMNO memberikan undi kepada PKR, maka dengan pemecatan Chong, lebih ramai ahli UMNO dan pengundi atas pagar akan memberikan laluan mudah kepada PKR atau Pakatan Rakyat.

Kunsul menyatakan, pihaknya telah menyediakan memorandum namun untuk menjernihkan keadaan, mereka tidak akan sampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri dalam majlis berbuka puasa di Masjid Ar-Rauddah pada hari ini, sebaliknya akan disampaikan terus kepada Pengerusi BN Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak dalam waktu terdekat.

No comments:

Post a Comment