Wednesday 25 August 2010

ISU PATI DIBINCANG BERSAMA PEMIMPIN BN


Barisan Nasional (BN) Sabah pada mesyuaratnya Selasa memutuskan agar hasil penemuan makmal khas yang diwujudkan untuk mengetahui masalah pendatang tanpa izin di negeri ini dibincangkan secara bersama di kalangan pemimpin BN negeri.

Ketua Menteri yang juga Pengerusi BN Negeri Datuk Seri Musa Aman berkata kesemua pemimpin parti komponen BN Sabah memandang serius isu pendatang tanpa izin yang menurut mereka memerlukan penyelesaian yang konkrit.

"Kabinet negeri sudah diberi taklimat mengenai makmal khas pendatang tanpa izin dan apa juga hasil cadangan (makmal itu), kita akan bincangkan bersama," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat BN negeri di sini.

Beliau berkata ini menunjukkan kesungguhan BN negeri mencari jalan penyelesaian terbaik kepada masalah pendatang tanpa izin yang tidak berkesudahan itu.

Katanya pemimpin BN negeri turut membincangkan isu tanah terutama yang membabit kawasan tanah simpan yang didiami penduduk tempatan.

Musa berkata beliau telah memberi penjelasan tentang dasar kerajaan negeri yang memberi hak milik berkelompok kepada penduduk tempatan yang layak dan merancang untuk menukar status kawasan tanah simpanan kepada tanah kerajaan negeri.

Beliau berkata pendekatan seumpama itu akan membolehkan penduduk tempatan yang mendiami kawasan hutan simpan terus kekal tinggal di situ melalui pemberian hak milik berkelompok.

Katanya mesyuarat itu turut memutuskan agar jawatankuasa khas yang terdiri daripada parti komponen BN dibentuk bagi meneliti pelbagai isu yang membabitkan kepentingan bersama.

No comments:

Post a Comment