Sunday 22 August 2010

DATUK RAMLI YUSUFF BEBAS SEMUA TUDUHAN




BEKAS Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) di Ibupejabat Polis Bukit Aman, Datuk Ramli Yusoff akhirnya dapat menarik nafas lega selepas Mahkamah Sesyen baru-baru ini membebaskan beliau daripada tuduhan ketiga yang merupakan tuduhan terakhir terhadapnya.

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur melepaskan dan membebaskan, Ramli daripada tuduhan memegang jawatan dalam sebuah syarikat pertanian ketika masih seorang penjawat awam, empat tahun lalu.

Sementara itu Bernama melaporkan, Hakim S.M Komathy Suppiah membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap Ramli, 57.

Mengikut pertuduhan, Ramli didakwa menjadi pengarah dalam syarikat Kinsajaya Sdn Bhd (Kinsajaya) ketika masih Pengarah JSJK, Bukit Aman.

Sebagai seorang penjawat awam, dia terikat dengan Peraturan 5(1) (a) Peraturan Pegawai Awam Kelakuan dan Tatatertib (Pindaan) 2002 iaitu penjawat awam tidak dibenarkan mengambil apa-apa bahagian dalam sebarang jenis perniagaan.

Dia yang dituduh pada 1 November 2007, didakwa melakukan kesalahan itu pada 2 Mei 2006, mengikut Seksyen 168 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara setahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Komathy, dalam penghakimannya berkata selepas meneliti keterangan dan bukti yang dikemukakan iaitu Penyata Laporan dan Kewangan Syarikat Kinsajaya bertarikh 20 Jun 2006 telah menunjukkan tertuduh bukan pengarah syarikat itu.

"Berdasarkan bukti penyata itu, pengarah sebenar syarikat berkenaan adalah milik Rohmah@Hasmah Yusoff iaitu kakaknya dan adiknya, Roslina kerana terdapat tandatangan mereka pada penyata itu.

"Mahkamah bersetuju dengan pihak pembelaan bahawa tiada bukti kewujudan aktiviti jual-beli yang dilakukan bagi membuktikan syarikat itu masih aktif. Ini menunjukkan maksud perniagaan itu tidak berlaku," katanya.

Beliau yang diwakili peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah yang turut ditemani rakan-rakan, melahirkan rasa gembira dan syukur atas keputusan mahkamah itu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Bache, yang mengemukakan 13 saksi sepanjang prosiding itu.

Pada 12 Mac lalu, Mahkamah Sesyen di sini melepaskan dan membebaskan Ramli daripada tiga pertuduhan gagal mengisytiharkan kepentingannya dalam dua hartanah bernilai lebih RM1 juta dan pemilikan saham.

Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Sabah pada 27 Julai tahun lalu turut melepaskan dan membebaskan Ramli daripada tuduhan menyalah guna kuasanya.

Lagi tuduhan salah guna kuasa, Ramli yang pernah memegang jawatan sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah didakwa mengeluarkan arahan dan menggunakan pesawat Cessna Caravan CE 208-9M-PSQ milik Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membawanya meninjau tanah di Ulu Tungku, Lahad Datu.

Ramli didakwa memiliki kepentingan dalam Kinsajaya yang dikatakan mempunyai pelaburan di tanah berkenaan.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut pada pukul 7.50 pagi, 15 Jun 2007 di Pangkalan Unit Udara Polis Tanjung Aru, Sabah.-(Bernama)

No comments:

Post a Comment