Thursday 19 August 2010

130 PENDUDUK KG CECILY DAPAT TANGKI AIR



TERIMA KASIH….Salah seorang penduduk Kg Cecily sedang bersalaman dengan Chong semasa menerima bantuan tangki air.

Oleh : SHAIMON S JUMADI

NIAT dan impian untuk mendapatkan bekalan tangki air daripada kerajaan yang selama ini dinanti-nantikan oleh seramai 130 penduduk Kampung Cecily Sebuga Sandakan akhirnya menjadi kenyataan.

Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Edmund Chong Ket Wah yang telah menunaikan janji-janjinya kepada penduduk-penduduk berkenaan telah melaksanakan tanggungjawab untuk membekalkan 130 buah tangki plastik kepada penduduk berkenaan di sini kelmarin.

Sebelum majlis upacara penyampaian bekalan tersebut dilangsungkan, dalam ucapan ringkasnya, Edmund antara lain menjelaskan kerajaan Barisan National (BN) memang sentiasa membantu rakyatnya dalam menikmati pelbagai kemudahan yang diperlukan.

“Ini sejajar dengan matlamat kerajaan yang mahukan rakyat hidupnya dalam keselesaan di samping sebagai menyahut seruan pucuk pimpinan di mana rakyat didahulukan pencapaian diutamakan,” jelasnya.

“Sebagai ahli parlimen, saya tidak akan lupa janji-janji saya semasa kempen pilihan raya lalu apa yang terdaya kita bantu rakyat yang memerlukan bantuan,” jelasnya.

Selain itu sebagai penyokong dan pengundi setia BN Chong menasihatkan kepada penduduk-penduduk Kg Cecily supaya tidak mudah mendengar hasutan dan propaganda daripada pihak pembangkang yang sengaja cuba memecah belahkan perpaduan rakyat yang sedia terjalin.

“Kita tahu sekarang ini parti pembangkang khususnya SAPP, kerap kali masuk kampung keluar kampung untuk mencari pengaruh untuk memesongkan buah fikiran rakyat, apapun kita tidak gentar untuk menghadapi musuh-musih kita, kerana kita bekerja keras untuk rakyat apa saja kemudahan yang diperlukan asal jangan minta yang bukan-bukan kita akan usahakan demi kepentingan rakyat,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment