Wednesday 21 July 2010

RUMAH PEMIMPIN LDP TENOM TERBAKAR



DEBU... Loo sekadar menonton bekas rumahnya yang telah menjadi debu dan arang.

Oleh: MAIL MATHEW

TIMBALAN Ketua Bahagian Liberal Demokratik Parti (LDP) Tenom, Kapitan Loo Kah Soo, 63, kerugian kira-kira RM50,000 apabila rumah papan beliau yang terletak di Kg Naluyan, kira-kira 4 kilometer dari pekan Tenom hangus dijilat api petang kelmarin (Selasa).

Loo yang juga seorang pesara kerajaan dan keluarganya bagaimanapun terselamat kerana ketika kejadian mereka (Loo sekeluarga) sedang melawat saudaranya yang juga mengalami kebakaran rumah dua hari lalu di salah sebuah kampung di kawasan Sapong.

Menurut Bilik Gerakan Bomba dan Penyelamat, sebaik menerima laporan kira-kira jam 5 petang, sepasukan 8 anggota Bomba dan Penyelamat yang diketuai Pegawai Operasi, Jaafar Salleh telah berkejar ke kawasan itu untuk menyelamatkan keadaan.

Namun kebakaran berlaku terlalu pantas tetapi ia dapat dikawal daripada terus merebak ke kawasan jiran. Kejadian itu tidak melibatkan kecederaan mahupun kehilangan nyawa, sekadar kemusnahan harta benda.

Ketika ditanya punca kebakaran, pegawai itu tidak dapat memberikan ulasan dengan tepat selain menunggu laporan hasil siasatan daripada Unit Penyiasatan Bomba yang akan menjalankan siasatan selepas itu.

Selain itu, Loo yang terkejut ketika diberitahu oleh jiran beliau tentang kejadian itu lalu bergegas pulang ke rumahnya namun apa yang dilihatnya hanyalah debu dan asap berkepul yang menjadikan beliau terus sugul dan sedih melihat kejadian tersebut.

No comments:

Post a Comment