Monday 19 July 2010

RELA MAMPU BENTENG NEGARA



KENANGAN………Abdul Rahman (tengah) menerima cendera kenangan sebagai tanda penghargaan pada majlis tersebut.

Oleh : ISMAIL MOHD ROSLI

AHLI Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Datuk Dahlan berkata kewujudan Pasukan RELA harus dipertahankan; ini penting kerana ia mampu membantu pasukan-pasukan keselamatan lain yang sedia wujud di negara ini.

Menurut Abdul Rahman, sebagai barisan pertahanan ketiga negara, Pasukan RELA merupakan antara kumpulan yang akan menjaga keselamatan negara dan rakyat, dilihat mempunyai kewibawaan untuk memikul tanggungjawab tersebut.

Katanya lagi, walaupun keadaan di negara ini aman, damai dan harmoni tetapi anggota Pasukan RELA sentiasa bersiap sedia setiap masa untuk menghadapi sebarang kemungkinan untuk mempertahankan kedaulatan negara ini dari serangan musuh negara.

“Jika kita bandingkan anggota RELA dahulu dan anggota RELA yang ada sekarang, saya melihat angota Pasukan RELA sekarang ini lebih professional, lebih berdisiplin dan lebih terlatih serta mempunyai kemampuan mengangkat martabat Pasukan RELA di seluruh negara dalam mempertahankan keselamatan negara ini.”

“Saya amat bangga dengan kemampuan Pasukan RELA yang melibatkan rakyat di peringkat akar umbi, orang awam, yang mana semangatnya tidak boleh dibandingkan dengan mana-mana pasukan beruniform di negara ini dalam menjalankan tugas-tugas yang diamanahkan oleh kerajaan dan rakyat.”

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Latihan Menembak Tahunan Pasukan RELA yang telah diadakan di di Padang Tembak Kem Paradise dekat sini, baru-baru ini.

Sebanyak tiga Pasukan RELA dari daerah Kota Belud, Nabawan dan Papar telah menjayakan program tersebut.

Jelas Abdul Rahman yang juga Setiausaha Barisan Nasional Sabah berkata Dato’ Seri Hisahmmuddin Tun Hussien sebagai Menteri yang bertanggunjawab ke atas Pasukan RELA sentiasa memahami kekurangan yang dihadapi oleh Pasukan RELA.

Katanya lagi, Dato’ Seri Hisahmmuddin Tun Hussien meletakkan pengharapan yang tinggi kepada anggota Pasukan RELA sebagai barisan pertahanan ketiga negara yang akan menjaga keselamatan negara ini dalam masa-masa negara memerlukannya.

“Setiapkali membincangkan topik Pasukan RELA, Dato’ Seri Hishammuddin sentiasa bersemangat dan antara amanat yang beliau sering ucapkan beliau mahu Pasukan RELA disertai oleh orang awam yang mempunyai semangat cintakan negara, disiplin, semangat patriotism yang tinggi.

“Harapan yang sama turut dikongsikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang berkeyakinan penuh dengan kewibawaan Pasukan RELA yang wujud di seluruh pelusuk Negara,” tambahnya lagi.

Antara yang hadir pada majlis itu ialah Pengarah RELA Sabah, Brig. Jeneral Samasuddin Lawi; Komandan PLRNS Lt. Kol. Longah Kandar; PRD Kota Belud Olt. Kol.Yakup Jani; PRD Nabawan, Mohd Bakri Belly; KPRM Kpt RELA, Januin Sudah serta para pemimpin yang lain.

No comments:

Post a Comment