Tuesday 20 July 2010

REBUT PELUANG INDUSTRI BURUNG WALIT



KENANGAN...dua dari kiri Augustin bergambar dengan pelanggan Agro Bank.


Oleh : SHAIMON S JUMADI

PARA penternak Kambing, Ikan, Itik, Lembu dan Ayam sama ada secara komersial ataupun secara kecil-kecilan yang sudah menjalankan usaha ini selama 3 tahun atau lebih dari itu dan ingin memperluaskan usaha mereka lebih besar lagi; masih ada ruang dan peluang untuk mendapatkan pinjaman dengan Agro Bank di mana-mana sahaja cawangan yang ada di seluruh negeri ini.

Sementara bagi penternak baru yang ingin mendapat bantuan pinjaman dari bank ini juga diberikan peluang seluas-luasnya dengan syarat kawasan tanah yang mereka gunakan tempat menternak itu mestilah tanah yang mempunyai geran.

“Ini adalah syarat utama,” kata Pengurus Cawangan Agro Bank, cawangan Sandakan, Augustin Simon.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan ringkasnya di majlis Mesra Pelanggan bagi pengenalan Produk Baru di sini kelmarin.

Katanya, Agro Bank kini telah menyediakan dana sebanyak RM3 juta untuk seluruh negara ini dengan tujuan ingin memberikan kemudahan pinjaman dengan mana-mana pengusaha dan penternak yang berminat untuk menikmati kemudahan itu dengan dikenakan faedah 3.75 peretaus sahaja.

Selain itu kata Augustin, Agro Bank ingin memperkenalkan produk baru itu projek menternak burung walit atau lebih jelas lagi burung layang-layang dengan menggunakan alat teknologi moden.

“Orang ramai khususnya warganegara Malaysia yang berminat untuk mengusahakan projek ternakan sarang burung walit ini juga digalakan dan dialu-alukan memohon pinjaman maksima RM200 ribu dengan syarat kawasan tanah yang hendak digunakan mesti mempunyai geran dan kedua mesti mendapat surat kebenaran daripada Jabatan Haiwan dan Jabatan Hidupan Liar,” jelasnya.

Menurut Augustin, setakat ini penglibatan masyarakat Cina yang menceburi dalam bidang ternakan projek sarang burung walit (layang-layang) sudahpun mencecah ke tahap 50 peratus berbanding dengan penglibatan kaum bumiputera yang terlalu sedikit bilangannya.

“Saya selaku Pengurus Cawangan Agro Bank mengalu-alukan kaum bumiputera yang mempunyai keluasan tanah yang bergeran rebutlah peluang ini. Kami sentiasa memberikan keutamaan mendapatkan pinjaman asalkan semua permohonan dilengkapi dengan syarat-syarat yang dikehendaki,” ujar Augustin lagi.

Augustin menegaskan, pemilik tanah tidak membiarkan tanah mereka menjadi hutan belantara yang tidak membawa sebarang kemajuan, sebaliknya menceburi bidang projek ternakan sarang burung walit kerana dalam tempoh 9 bulan sahaja mereka akan mendapat hasil yang cukup lumayan.

Majlis Mesra Pelanggan yang diadakah di Restoran Ming, Sabah Hotel telah dihadiri lebih 60 pelanggan yang terdiri daripada mantan peminjam dan peminjam sedia ada.

No comments:

Post a Comment