Tuesday 27 July 2010

POLIS ELEMEN PELENGKAP MASYARAKAT




OLEH: SHAIMON S JUMADI


MASYARAKAT khususnya orang ramai tidak terlalu memandang serong terhadap peranan, tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam melaksanakan tugas-tugas harian mereka.

“Orang ramai seharus juga mengucapkan jutaan terima kasih kepada anggota polis dalam menjaga keselamatan rakyat dalam pelbagai hal,” kata Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Belia dan Sukan Negeri, Datuk Peter Pang En Yin.

Pang berkata demikian pada majlis Dialog dengan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim bersama Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Peter Pang En Yin dengan peniaga-peniaga Sandakan di sini kelmarin.

Katanya, terdapat juga segelintir anggota polis yang menjalankan tugas tidak betul dan ini tidak dinafikan, maka melalui majlis dialog pada hari ini masyarakat boleh menyuarakan kepada pihak polis mengikut saluran yang betul.

“Kita tahu para peniaga di daerah Sandakan banyak masalah yang ingin dikemukakan pada sesi majlis dialog, dengan itu jika mereka yang ingin menyuarakan segala kemusykilan amat dialu-alukan,” jelasnya.

Pang menambah, melalui majlis dialog ini antara polis dengan para peniaga ini satu pendekatan untuk rakyat berinteraksi dengan polis dalam memberikan pelbagai maklumat khususnya mengenai kegiatan jenayah yang dilakukan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Sementara itu, dalam ucapannya Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Noor Rashid Ibrahim antara lain menjelaskan masyarakat pada hari ini tidak perlu takut dengan pihak polis sekiranya mereka mempunyai maklumat yang ingin disampaikan.

“Pergilah ke mana-mana Balai Polis yang berhampiran dan buat laporan,” kata Noor Rashid yang menyifatkan jenayah dilakukan oleh mereka yang cetek pendidikan dan pemikiran sehingga mudah terjebak dengan apa juga bentuk jenayah.

Kata Noor Rashid lagi, ini terbukti di mana kebanyakan penuntut-penuntut sekolah sudah pandai merokok dan melepak di sana sini kadang-kadang terlibat dengan pergaduhan.

Noor Rashid berkata, Rakan Cop diilhamkan di atas kesedaran bahawa polis adalah elemen pelengkap kepada sesebuah masyarakat yang aman dan harmoni kerana Rakan Cop bererti rakan polis. COP adalah singkatan daripada perkataan COOPER yang diberikan kepada anggota polis.

Rakan Cop juga, kata Noor Rashid, adalah medium perantara untuk merapatkan jurang antara polis dan masyarakat yang mengambil konsep yang mudah dan praktikal bagi merealisasikan ikatan hubungan kukuh dengan orang ramai melalui pendekatan yang lebih jelas, lebih mudah bersepadu dan tersusun.

Justeru itu untuk membanteras gejala-gejala seumpama ini tidak boleh diletakan dibahu pihak polis semata-mata sebagai masyarakat juga harus mempunyai tanggungjawab sama untuk membantu pihak polis bagi menangani kegiatan-kegiatan tersebut dan tanpa kerjasama daripada orang awam maka sesuatu perkara tidak akan menemui kejayaan,” ujarnya.

Program yang diadakan di Dewan Utama Institut Latihan Perindustrian (ILP) anjuran PDRM telah dihadiri lebih 500 orang peniaga termasuk ahli-ahli korporat dan tidak ketinggalan Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Elopura Au Kam Wah, ADUN Sekong Datuk Hj Samsudin Yahya, Ketua Polis Daerah Sandakan dan pegawai-pegawai kanan polis.

No comments:

Post a Comment