Tuesday 27 July 2010

PELUPUSAN HARAM DI TUBIR MATA DBKK




MENJIJIKKAN...keadaan sampah-sarap yang dibuang sesuka hati mereka yang tidak bertanggungjawab di sebuah lot tanah di Jalan Kuala Laut, Likas.

Oleh: KREW SABAHKINI.NET

SIKAP mereka yang tidak bertanggungjawab terutama pendatang yang menghuni rumah sewa membuang sampah-sarap sesuka hati di kawasan lot tanah di Jalan Kuala Laut, Likas berhampiran pasar kampung berkenaan; bukan sahaja menjadikan kawasan tersebut sangat menjijikkan malah turut mendedahkan penduduk kepada ancaman pelbagai penyakit.

Berikutan itu, penduduk di sini mengulangi gesaan supaya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengambil tindakan tegas agar kawasan itu tidak dijadikan tempat pembuangan sampah haram kerana ia memberi imej buruk terhadap kampung tersebut.

"Kita sudah mengadu masalah ini kepada DBKK termasuk melalui media sebelum ini tetapi malangnya tiada sebarang tindakan diambil sehingga hari ini," kata seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Ahmad.

Beliau berkata, penduduk tidak faham kenapa pihak berkuasa tempatan itu tidak berbuat sesuatu memandangkan kawasan Likas sangat hampir dengan bandaraya Kota Kinabalu.

Katanya, mereka juga sangat hairan dengan sikap 'acuh tidak acuh' DBKK mengenai situasi menjijikkan itu yang seolah-olah memberi gambaran mereka membiarkan keadaan seperti itu berlarutan.

"Bagi kami, DBKK harus bersikap reponsif terhadap sebarang masalah yang boleh memudarat kesihatan orang ramai dan mereka perlu sensitif dan mengambil inisiatif untuk menanganinya.

Mungkin juga, katanya, Mayor DBKK, Datuk Iliyas Ibrahim sendiri perlu turun padang untuk melihat keadaan tersebut bagi membolehkan kakitangan bawah menjalankan tanggungjawab mereka sebagaimana yang diharapkan orang ramai.

Menurut beliau, jika DBKK masih gagal berbuat sesuatu, pihaknya berharap Jabatan Kesihatan Negeri tampil memantau masalah itu dan seterusnya mengambil tindakan mengatasinya sebelum kekotoran di tempat tersebut menjejaskan kesihatan penduduk.

No comments:

Post a Comment