Friday 30 July 2010

PAS KOMITED PERJUANGKAN ISLAM



Oleh: FAIZAL OKADAU

PENDIDIKAN Islam menjadi agenda penting PAS sesuai dengan PAS sebagai gerakan dakwah dan juga parti politik yang berjuang atas landasan Islam demi menegakkan ketuanan Islam di muka bumi Allah ini.

Usaha untuk melahirkan generasi Rabbani yang dimulakan PAS semenjak anak-anak itu masih diperingkat awal kanak-kanak. PASTI menjadi bukti kesungguhan PAS dalam merealisasikan cita-cita Islam ini. Demikian penegasan Sdr Lahirul Latigu, Ketua Dewan Pemuda PAS Sabah, ketika merasmikan Majlis Ihtifal PASTI Zon Sandakan.

"Aktivis-aktivis PAS telah membangun dan mengurus PASTI dengan menggunakan wang saku sendiri yang bermula dengan kosong. Bahkan ada antara aktivis PAS mengorbankan gaji bulanan atau pendapatan harian mereka untuk menampung pembayar elaun guru dan keperluan PASTI. Manakala guru PASTI pula berkhidmat dengan ikhlas untuk melakukan kebajikan sekalipun imbalan yang diterima tidak seberapa," jelas Lahirul lagi.

Beliau turut mengingatkan ibubapa yang hadir tentang bahayanya masa depan anak-anak yang tidak dididik dengan asuhan agama dalam menghadapi era globalisasi dan juga kemajuan internet. Bahayanya bukan setakat merosakkan akhlak bahkan sehingga memesongkan aqidah umat.

Lahirul turut melahirkan kekesalan terhadap langkah Kerajaan yang menaikkan harga minyak dan keperluan asas lain kerana ianya akan menyebabkan peningkatan kos yang bakal ditanggung rakyat termasuk kos pendidikan.

Sehubungan dengan itu, beliau menyeru ibubapa yang hadir supaya bangkit bersama Pakatan Rakyat untuk mendapat pendidikan percuma di peringkat rendah, menengah dan pengajian tinggi. Janji ini telah diputuskan dalam konvensyen Pakatan Rakyat sebelum ini.

Majlis Ihtifal PASTI Zon Sandakan kali ini mendapat sambutan meriah dari wakil-wakil 14 buah PASTI zon Sandakan. Pidato, sajak, bercerita kisah Al-Quran, nasyid, azan subuh, hafazan dan khutbah antara acara yang dipertandingkan.

Turut hadir ke majlis tersebut, timbalan beliau, Ustaz Zaidi Mustapa dan Ketua Pemuda PAS Sandakan, Ustaz Kamarudeen Wahab.

No comments:

Post a Comment