Thursday 29 July 2010

PANEL PEGUAM ENGGAN TERIMA SAMAN





Oleh: KREW SABAHKINI.NET

KREW Sabahkini.Net yang hadir untuk membuat liputan sambung perbicaraan antara Gabungan Saga Vs Kwantas Corporation Berhad dan beberapa Pengarahnya yang terdiri daripada Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung sempat menyaksikan satu lagi episod melucukan.


Penyampai saman yang diamanah oleh Haji Bahri Berahim, gagal menyerahkan Saman Pemula yang telah difailkan apabila panel peguam terdiri daripada Alex Siaw (Mesrrs Alex Siew & Co); Henri Cheu (Mesrrs Cheu Adnan & Razi) dan Roland Cheng (Mesrrs Roland Cheng & Co) sama sekali tidak mahu menerima Saman Pemula yang telah dikeluarkan daripada Pendaftar Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu bagi pihak klien mereka.

Ketika Saman Pemula disampaikan dalam bilik bicara Mahkamah Tinggi Sandakan ketiga-tiga Peguam tersebut sedang mewakili kes guaman klien mereka, Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung.

Ketiga-tiga peguam berkenaan dengan jelas menyatakan mereka tidak ada menerima arahan daripada Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung untuk menerima Saman Pemula tersebut.

Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung adalah Defendan Pertama dan Defendan Kedua dalam Saman Pemula tersebut.

Haji Bahri berketurunan ‘Orang Sungai’ berasal daripada Kg. Bilit, Kinabatangan dalam Saman difailkannya melalui Tetuan Jonn Lynn Advocate; memohon perintah pengisytiharan bahawa kedua beradik yang tergolong sebagai antara orang terkaya di Malaysia itu bukan Anak Negeri berasal daripada Negeri Sabah, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan dan Undang-Undang Malaysia.

Kwan Ngen Wah dan adiknya, Kwan Ngen Chung, sebagai anak kandung kepada mendiang Kwan Ah Hee yang berasal daripada Negara China, masing-masing memiliki dan menggunapakai satu Sijil Anak Negeri yang dipercayai direka secara palsu.

Bagaimanapun setelah penggunaan Sijil Anak Negeri mereka terdedah, beberapa kakitangan Mahkamah Anak Negeri di Kota Kinabalu telah mengambil langkah sedaya upaya lindungi jenayah penipuan yang mereka lakukan.

Turut terlibat memperdaya kaum Anak Negeri Sabah adalah bekas Pengarah Jabatan Hal Ehwal Anak Negeri, Haji Mohamad Said Hinayat yang juga Naib Presiden II United Sabah Bajau Orginasation (USBO).

Turut menjijikkan sistem penghakiman Mahkamah Anak Negeri adalah keengganan pihak tertentu mengambil tindakan sewajarnya memperbetulkan apa yang salah dilakukan oleh sebilangan Ketua Daerah atau Ketua Anak Negeri sebelumnya.

Misalnya Sabahkini.Net pernah menyiarkan permohonan penyemakan yang telah difailkan ke Pejabat Mayor Kota Kinabalu telah sengaja tidak mahu didengar oleh Mayor.

Apabila terdesak, Mayor Kota Kinabalu cuba mencuci tangan dengan melantik kakitangan bawahannya menjadi hakim untuk mengadili penyemakan yang dipohon.

Malang sekali apabila tiba tarikh bicara yang ditetapkan, para pengadil yang dilantik Mayor Kota Kinabalu itu tidak tahu melaksanakan tugas mereka.

Defendan sama sekali tidak diperintahkan hadir, sebaliknya mereka hanya menjemput Ketua Daerah Kota Kinabalu, OKK William Majimbon memberi ceramah dengan tujuan yang nyata iaitu supaya mereka yang memfailkan penyemakan menarik balik penyemakan yang telah difailkan.

OKK William Majimbon yang hadir dalam perbicaraan kes penyemakan oleh Mantan Ketua Daerah Sandakan, OKK Hassnar B Hj Ebrahim adalah atas jemputan pengadil lantikan Mayor Kota Kinabalu dengan nasihat oleh Juprin Adamal Wong, seorang kakitangan bertugas di Pejabat Jabatan Peguam Besar Negeri Sabah.

Tindakan Azmi Salim selaku pengadil Mahkamah Rayuan Anak Negeri itu jelas mempamerkan adanya tangan-tangan ghaib di Pejabat Mayor Kota Kinabalu cuba membela dan merahsiakan jenayah dilakukan oleh Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung.

Sebilangan ketua-ketua Kaum Anak Negeri yang mengikuti setiap perkembangan mengenai penggunaan Sijil Anak Negeri oleh bukan Anak Negeri dan peranan Mayor Kota Kinabalu enggan mengadili kes penyemakan yang difailkan berpendapat, motif sebenar Mayor Kota Kinabalu itu tidak mahu membicarakan kedua-dua beradik berkenaan adalah untuk mengelak Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung daripada dihadapkan kemuka pengadilan.

Sementara itu, sebilangan ahli masyarakat kaum Anak Negeri yang menghubungi Sabahkini.Net menyokong pepatah yang berbunyi, “When money talks, justice have to give way” atau alih bahasanya, berbunyi “bila wang berjalan, keadilan perlu berundur.”

Apakah wang ada memainkan peranan sehingga para Pengadil di Mahkamah Anak Negeri di Kota Kinabalu tidak mahu membicarakan kes penyemakan Sijil Anak Negeri digunapakai oleh Kwan Ngen Wah dan Kwan Ngen Chung seperti difail oleh mantan Ketua Daerah Sandakan?

Pembaca hakimilah sendiri!

No comments:

Post a Comment