Saturday 24 July 2010

MENTERI RESTU PEMBINAAN RUMAH CHESIRE



SUMBANGAN…..Rumah Amal Sabah terima sumbangan RM36,000 daripada Yayasan Hong Leong

Oleh : SHAIMON S JUMADI

MENTERI Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna Sabah, Datuk Hajjah Azizah Datuk Mohd Dun menjelaskan bahawa pada tahun 2009, kementeriannya telah membenarkan Persatuan Rumah Amal Sabah untuk menggunakan 2 buah bangunan bagi menempatkan orang kurang upaya (OKU) bagi menjalankan pelbagai aktiviti mereka.

“Seperti yang kita lihat sekarang, di mana sebuah rumah yang diperuntukkan kepada Rumah Amal Sabah sebagai pejabat pentadbiran persatuan telah diubah suaikan dengan begitu indah sekali,” jelasnya.

Azizah menjelaskan demikian ketika berucap merasmikan Bangunan Urusetia Persatuan Rumah Amal Sabah Sandakan. Teks ucapannya disampaikan oleh Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Ethong Terang di sini kelmarin.

“Saya telah difahamkan, sejak penubuhan Persatuan Rumah Amal Sabah atau yang dikenali sebagai Sabah Cheshire Home pada 8 April 2000, ramai penghuni orang kurang upaya telah menetap dan dijaga di rumah amal ini,” katanya.

Kata Azizah, setakat ini terdapat seramai 26 orang penghuni dengan tambahan program intervensi awal bagi membimbing kanak-kanak kurang upaya intelek.

Azizah selanjutnya memuji pihak persatuan tersebut walaupun sebagai sebuah organisasi bukan kerajaan (NGO) tetapi rumah amal ini mempunyai reputasi yang sangat baik dalam memberi perlindungan dan penjagaan kepada golongan OKU.

Terdahulu dalam Ucapan alu-aluannya, Pengerusi Rumah Amal Sabah Sandakan Lawrence Q S Hee, antara lain mengucapkan terima kasih kepada pihak JPKAS dan Kementerian Pembangunan Masyarakat & Hal Ehwal Pengguna atas kerelaan dan keprihatinan untuk membenarkan menggunakan 2 bangunan tersebut sebagai pusat penempatan OKU dan pejabat pentadbiran Urusetia persatuan tersebut.

Disamping itu Hee juga menjelaskan melalui aktiviti ‘Charity Dinner’ pada tahun lalu persatuan tersebut telah berjaya mengutip derma sebanyak RM50 ribu, di mana kesemua hasil wang kutipan tersebut telahpun digunakan untuk kos pembiayaan pengubahsuaian bangunan tersebut.

Majlis tersebut yang diadakan diperkarangan bangunan itu telah dihadiri lebih 200 orang yang terdiri daripada ahli-ahli koprat dan tidak ketinggalan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Elopura, Au Kam Wah yang juga selaku penasihat kepada persatuan tersebut.

No comments:

Post a Comment