Thursday 22 July 2010

KADAR KEMISKINAN TURUN KEPADA 3.8 PERATUS




TERIMA …Chock Siew Choi wakil DUN Elopura terima sijil yang disampaikan Ewon.


OLEH: SHAIMON S JUMADI

MENTERI Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Ebin berkata sebagai pemimpin khususnya di peringkat kampung mahupun di taman-taman perumahan mereka perlu menjadi teladan dan contoh yang baik kepada kelompok masyarakat yang diwakili.

Kepimpinan berteladan yang mempunyai ciri-ciri positif seperti bersih, telus, cekap, amanah, berhemah serta mesra rakyat dapat memberi inspirasi kepada rakyat setempat dan sekaligus dapat menggembleng kekuatan untuk mencapai tujuan asal penubuhan mahupun pembentukan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) itu sendiri,” katanya.

Ewon berkata demikian ketika berucap di majlis upacara penutupan Kursus Pengurusan dan Pentadbiran JKKK/JKDB bagi Daerah Sandakan di sini kelmarin.

Katanya aspek nilai-nilai budaya kerja yang positif dalam perancangan dan pelaksanaan program-program pembangunan setempat hendaklah diutamakan supaya potensi dan sumber ekonomi yang ada dapat diuruskan dengan cemerlang dan dimanfaatkan secara optima.

Lazimnya masyarakat yang maju dan berdaya saing tambah Ewon, adalah lahir daripada seorang pemimpin yang baik dan berkaliber serta mampu memenuhi amanah yang dipertanggung jawabkan seperti yang diwar-warkan oleh Perdana Menteri Malaysia yang telah mempelopori inisiatif menyatupadukan rakyat melalui Gagasan 1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Ewon menembah Prinsip Rakyat Didahulukan, bermakna Kerajaan akan menumpukan kepada bidang yang sangat diperlukan, manakala Prinsip Pencapaian Diutamakan pula bermakna satu tahap baru telah ditetapkan bagi ketelusan dan kebertanggungjawaban kerajaan.

Berdasarkan kepada pembentangan RMK-10 yang lalu jelas Ewon lagi, kadar kemiskinan Negara telah turun kepada 3.8 peratus pada tahun 2009 berbanding 5.7 peratus pada tahun 2005.

“Manakala peratusan miskin tegar telah menurun daripada 1.2 peratus kepada 0.7 peratus pada tahun yang sama dan ini secara tidak langsung menunjukkan kejayaan program/projek pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan oleh kerajaan untuk golongan sasar,” ujarnya.

Katanya Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sabah (KPLB) telah membelanjakan lebih kurang RM378,000 untuk pelaksanaan program-program peningkatan pendapatan di bawah peruntukan pembasmian kemiskinan bagi daerah Sandakan yang telah memberi manfaat kepada lebih kurang 100 peserta KIRMT.

Kursus yang dilangsungkan selama dua hari itu bertempat di Ballroom Sandakan Hotel telah ditelah disertai seramai 80 orang pengerusi dan ahli-ahli JKKK/JKDB yang membabitkan 6 kawasan DUN Gum-Gum, Sungei Sibuga, Sekong, Karamunting, Elopura dan Tg Papat.

Turut hadir pada majlis penutupan tersebut ialah Timbalan Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS) dan pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri dan persekutuan.

No comments:

Post a Comment