Wednesday 28 July 2010

JANGAN PERSIAKAN AMANAH KERAJAAN



WATIKAH...Datuk Nasir(dua kiri) diringi OKK Musa (kiri); Tahir Amir (tiga kiri) dan disaksikan Kapitan Ong Hang Seng (kanan) dan Kapitan Datuk Chao Yan San (tiga kanan) menyampaikan watikah perlantikan Pengerusi JKDB kepada Gan Sei Wah (tengah) sempena majlis itu.


Oleh: ARSHAD HUSSIN


MENTERI Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran, mengingatkan Pengerusi-Pengerusi JKKK dan JKDB tidak mensia-siakan amanah yang diberikan kepada mereka membantu kerajaan menyampaikan maklumat yang betul kepada rakyat akar umbi di samping membantu rakyat yang memerlukan bantuan.


Katanya, sebagai mata dan telinga kerajaan mereka (pengerusi JKKK/JKDB) seharusnya memberikan maklumat yang tepat kepada rakyat berhubung misi dan visi kerajaan yang sentiasa prihatin membela nasib rakyat dengan pelbagai pembangunan bukan sahaja di daerah itu malah di seluruh negara.


Sehubungan itu katanya, sebagai pemimpin di peringkat daerah dan kampung Pengerusi JKKK/JKDB juga bertanggungjawab membantu kerajaan menangkis pelbagai tomahan yang sengaja disebarkan pihak-pihak tertentu yang sentiasa mengintai peluang menyebar dakyah dan meracuni pemikiran rakyat untuk menjatuhkan pemimpin demi kepentingan politik mereka.


Datuk Nasir berkata demikian sempena majlis penyampaian Surat Watikah Perlantikan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Dalam Bandar kepada 23 orang pemimpin bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang.


Nasir yang juga Adun Senallang, kesal dengan pelbagai tohmahan dan penafian perubahan pembangunan di daerah itu.


Katanya, daerah itu yang kini telah berubah wajah sejak kerajaan Barisan Nasional memerintah negeri ini dengan pelbagai pembangunan infrastruktur termasuklah pembangunan sosio-ekonomi, pendidikan, kesihatan, keselamatan dan pelancongan seharusnya disyukuri dengan penuh keinsafan dan bukannya dengan kekufuran.


Nasir menjelaskan, wakil-wakil rakyat di daerah itu termasuklah wakil rakyat kawasan Sulabayan, Bugaya dan Parlimen Semporna sentiasa berkerja keras membawa pembangunan untuk daerah itu semata-mata demi kesejahteraan segenap lapisan rakyat tanpa mengira suku kaum, agama mahupun ideologi politik.


Beliau menambah,dengan adanya pengwujudan Pangkalan Tentera dan Kompleks PDRM selama ini di daerah itu telah menyumbang kepada kesejahteraan seluruh rakyat khususnya masyarakat nelayan, pengusaha pelancongan dan juga penduduk pulau-pulau yang dulunya sentiasa merasa takut dengan ancaman lanun.


Demikian juga dengan pembangunan perhubungan jalanraya, premis pendidikan dengan bangunan-bangunan sekolah dan premis kesihatan bagi ketiga-tiga DUN Senallang, Sulabayan dan Bugaya.


Katanya tidak cukup dengan itu, kerajaan juga memberikan bantuan kepada masyarakat nelayan, petani dan peladang serta usahawan industri rumpai laut, IKS dan juga membantu golongan miskin dengan pembinaan rumah rakyat (PPRT/KIRT).


Sehubungan itu, Nasir menasihatkan mereka (Pengerusi JKKK/JKDB) tidak terpengaruh dengan propaganda dan dakyah politik sempit pihak pembangkang yang sentiasa berfikiran jumud dan mengadu domba pemimpin dan mencelarukan fikiran rakyat.


Beliau menambah, selaku pemimpin masyarakat mereka juga hendaklah mengutamakan kepentingan tugas dan tidak menyalahgunakan kuasa yang diamanahkan kerajaan untuk berbakti kepada masyarakat.


No comments:

Post a Comment