Monday 26 July 2010

BARTER TRADE KEMBALI KE SEMPORNA



ANUGERAH...Datuk Nasir (tengah) disaksikan Adilun (dua kanan) dan Rahim (dua kiri) menyampaikan Anugerah Peladang Lelaki Contoh kepada Abd Razak Tampi (kiri) sempena majis itu di Semporna.

Oleh: ARSHAD HUSSIN

Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Datuk Haji Nasir Tun Sakaran mengingatkan ahli-ahli Persatuan Peladang Kawasan Semporna lebih komited dan berusaha lebih gigih memajukan perusahanan pertanian mereka dan tidak hanya sebagai penonton kepada kemajuan pembangunan yang semakin pantas bergerak kini.

Katanya, komitmen yang lebih jitu perlu direalisasikan oleh semua ahli PPK demi untuk survival pembangunan pertanian daerah itu yang kian menerima cabaran-cabaran baru dalam dunia yang semakin canggih khususnya dalam dunia ICT dan globalisasi.

Nasir berkata, daerah itu yang kaya dengan pelbagai sumber laut dan produk pertanian harus dimanfaatkan sepenuhnya oleh penduduk dan mengambil bahagian berusaha dengan semangat waja memajukan sosio ekonomi keluarga sekaligus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Datuk Nasir berkata demikian sempena merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Semporna.

Hadirsama sempena majlis itu Pengerusi PPK Semporna, Haji Adilun Samaluddin; Ketua Daerah Semporna, OKK Haji Musa Sabaani; Pemimpin Kemajuan Masyarakat Kawasan Senallang, Haji Tahir Amir; Pemimpin Kemajuan Rakyat Kawasan Sulabayan, Haji Mohd Fadzil Sappal serta ahli PPK Semporna dan kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan.

Nasir berkata, meskipun daerah Semporna amat bertuah kerana dikurniakan kawasan pesisir laut dan perairan yang kaya dengan sumber laut dan amat sesuai dengan penanaman rumpai laut namun, tanpa kesedaran dan penglibatan penduduk ianya tidak akan membawa makna kepada daerah itu.

Justeru itu katanya, penduduk daerah itu perlu bangkit dan turut serta dalam industri penanaman rumpai laut yang mampu memberikan pulangan lumayan kepada pengusaha yang komited ingin maju.

Menurut Nasir, berdasarkan kajian Jabatan Perikanan serta pengkaji dari negara jiran seperti Filipina dan Indonesia, mereka mengakui rumpai laut keluaran Semporna merupakan rumpai laut bermutu tinggi.

Sehubungan itu juga, beliau menjelaskan Sistem perdagangan tukar barang (barter trade) yang pernah beroperasi di Semporna, kini dihidupkan semula selepas keadaan keselamatan yang stabil serta pelbagai langkah keselamatan yang dilakukan pihak kerajaan termasuk pengwujudan pangkalan tentera laut serta pos-pos keselamatan di kawasan pulau-pulau perairan negara.

Nasir menjelaskan, kerja-kerja penyediaan infrastruktur asas termasuk pembinaan jeti untuk tujuan itu sedang berjalan dan dijangka siap sebelum penghujung tahun ini.

"Pada masa ini agensi berkaitan termasuk Jabatan Imigresen sedang menyediakan keperluan asas termasuk pusat Pemeriksaan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ)," katanya

Menurut Nasir operasi perdagangan sistem tukar barang di Semporna suatu ketika dahulu terpaksa dihentikan kerana faktor keselamatan yang tidak menentu.

Katanya lagi,antara barangan berpotensi untuk diniagakan melalui sistem itu dengan negara-negara jiran termasuk barangan kegunaan harian serta hasil pertanian.

Datuk Nasir yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Senallang, meminta rakyat Semporna mengambil bahagian secara aktif dalam industri pelancongan yang kian pesat di daerah itu agar manfaatnya dapat mereka nikmati bersama.

"Kita jangan setakat menjadi penonton sahaja terhadap perkembangan pesat industri pelancongan di sini. Kita perlu merebut peluang-peluang yang ada," katanya.

Ujar Nasir, pelancong asing cukup mengagumi produk dan destinasi pelancongan yang dimiliki daerah itu kerana keindahan pulau-pulau serta dasar lautnya yang indah serta menjadi syurga kepada peminat-peminat penyelam khususnya pelancong luar negara.

Kata Nasir, mungkin ramai kalangan masyarakat setempat tidak menyedari keistimewaan yang di miliki itu kerana mereka sudah terlalu biasa dengannya namun, rakyat Malaysia khususnya penduduk Semporna perlu menghargai dan memelihara khazanah berkenaan dengan tidak mencemarkannya melalui pembuangan sampah sesuka hati.sewenang-wenangnya.

“Tanpa kerjasama semua penduduk kita khuatiri keindahan berkenaan boleh tercemar dan jika perkara itu berlaku masyarakat dan negara ini sendiri akan mengalami kerugian,” kata Nasir.

Sempena majlis itu juga Datuk Nasir menyampaikan Anugerah Peladang Lelaki Contoh; Peladang Wanita Contoh; Peladang Muda Contoh; Unit Peladang Aktif;Usahawan Hasil Laut; Usahawan Industri Kecil Sedarhana(IKS); dan Anugerah Penyumbang Langganan Input Pertanian Terbanyak; Penyumbang Langganan Sawit Terbanyak (Lelaki/Wanita); Penyumbang Langganan Sawit Terbanyak (Ejen); Penyumbang Langganan Sawit Terbanyak (Pusat Timbang); Pekerja Terbaik dan juga menyampaikan bantuan dana kepada beberapa orang usahawan dan kepada PPK Daerah Semporna.

No comments:

Post a Comment